WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berang selepas pengiraan undi menunjukkan pencabarnya dari parti Demokrat, Joe Biden, makin hampir memenangi pilihan raya presiden.
Calon Republikan itu membuat dakwaan melulu bahawa beliau ditipu dan dinafikan kemenangan dalam pilihan raya presiden, ketika pengiraan undi membabitkan beberapa negeri utama dijalankan.
"Mereka cuba 'mencuri' pilihan raya ini," katanya dalam satu sidang media di Rumah Putih, dua hari selepas pengundian ditutup.
Selain tidak mengemukakan sebarang bukti, Trump enggan menjawab soalan wartawan dan sebaliknya, menghabiskan 17 minit untuk membuat pelbagai 'kenyataan bersemangat' yang tidak pernah diucapkan mana-mana Presiden AS.
Menurutnya, parti Demokrat menggunakan 'undi palsu' bagi 'mencuri pilihan raya' daripada parti Republikan.
"Jika anda mengira undi yang sahih, saya menang mudah tetapi mereka cuba memanipulasi pilihan raya ini dan saya tidak akan benarkan," katanya.
Di sebalik retorik Trump, dakwaannya banyak ditujukan kepada integriti sejumlah besar undi pos berbanding undian secara fizikal yang dibuat setiap individu pada hari mengundi.
Peralihan besar kepada undi pos tahun ini berlaku berikutan ancaman pandemik COVID-19, dengan orang ramai enggan bersesak di pusat mengundi terutama selepas wabak itu mengorbankan lebih 230,000 penduduk AS.
Bagaimanapun, Trump kerap memandang remeh ancaman virus itu dan menggesa penyokongnya supaya menolak undi pos, menyebabkan lebih ramai penyokong Demokrat memilih undi pos berbanding penyokong Republikan.
Rungutan Trump semakin lantang tatkala keputusan terkini menunjukkan nasib semakin memihak kepada Biden untuk memenangi pemilihan kali ini.
Biden, 77, hanya memerlukan undi satu atau dua negeri lagi untuk meraih majoriti manakala Trump, 74, berdepan kesukaran kerana masih memerlukan banyak lagi sokongan jika mahu mengekalkan kedudukan.
Biden kini memiliki 253 daripada 538 blok undi yang diagih berdasarkan nisbah pengundi di 50 negara di AS manakala Trump mempunyai 214 undi.
Sesiapa yang meraih 270 undi sudah boleh diisytiharkan pemenang dan menjadi Presiden AS yang baharu. - AFP
No comments
Post a Comment