Janji Allah Tentang Rezeki



Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

(Hud 11:6) 

############

Saya dah keluar dari klinik, dah masuk ke dalam kereta pun, tiba-tiba saya terlihat datang seorang ibu mengendong anak kecil lalu mengetuk pintu kaca klinik. Staf yang ada di dalam beritahu bahawa doktor dah keluar. 

Saya lihat jam. Klinik saya sepatutnya tutup jam 10 malam, tapi saya keluar awal sedikit sebab tadi tiada pesakit. Hmmm, tak baik tolak rezeki, lagipun kasihan pula lihat si ibu bersama anaknya itu. Jadi saya keluar semula dari kereta, dan beri isyarat kepada staf bahawa saya akan masuk semula ke klinik.

Setelah bergegas masuk semula ke dalam klinik, saya pun terus panggil wanita bersama anaknya itu untuk masuk ke dalam bilik konsultasi kerana nampak anaknya menangis tak henti-henti dari luar tadi. Nampak macam ada yang tak kena, jadi saya rasa kena periksa cepat. Daftar kemudian pun tak apa. 

"Anak sakit apa, puan? Demam ke?" kata saya sambil periksa suhu di dahi si anak. Suhunya normal. 

Si emak pula kelihatan macam orang yang serba tak kena, seperti orang tak keruan. Dalam pada itu, dia tepuk-tepuk si anak untuk cuba memujuknya. Sesekali dia dodoi. Namun anak dia tetap menangis juga. 

"Sebenarnya…errm" 

Saya tekun nak tunggu dia sambung cakap, tapi tak dia sambung-sambung pula. Saya sedang pandang wajahnya, dan perasan anak mata dia melilau ke sana ke mari, tapi bukan kerana melihat. Lebih kepada sedang berfikir atau menerawang. Terpaksa saya desak sikit. 

"OK. Sebenarnya apa, puan? Puan yang sakit eh?" 

"Sebenarnya anak saya ni lapar, doktor… tapi saya tak ada duit nak beli susu untuk dia. Susu dia habis. Susu badan saya tak banyak. Tak cukup untuk dia. Ni dia dah lapar sangat ni."

Saya lihat jam, dah pukul 9.55 malam. Kedai yang jual susu bayi dah banyak tutup. Kalau beri si ibu ni duit pun, dia nak beli di mana?

"Saya datang ni bukan nak minta duit ke apa doktor." sambungnya lagi, seolah-olah dia dapat baca apa yang saya sedang fikirkan. 

"Saya cuma nak tanya kalau-kalau doktor ada sampel susu bayi ke, apa ke. Kalau ada, saya nak minta sedikit. Kalau tak ada tak apalah, saya cuba nasib sahaja ni," jelasnya.

Meremang bulu roma saya. 

Klinik saya tak ada jual susu, tapi petang tadi ada jurujual susu formula datang ke klinik untuk promosikan produk syarikatnya. Masa jurujual tu mohon nak jumpa doktor, saya beritahu staf bahawa saya sibuk. Lagipun klinik saya memang tak ambil stok susu formula untuk dijual. 

"OK tak apa, bukan rezeki sayalah hari ni nak jumpa doktor. Cuma, saya nak tinggalkan sampel susu ni dekat sini. Mana tahu ada rezeki orang lain" katanya sambil mengeluarkan sampel yang dimaksudkan. Banyak juga di beri. Berpeket-peket. 

Ternyata memang ada rezeki orang lain pada hari tu. Saya percaya ini bukan kebetulan. Semuanya dah dirancang. Siapa yang rancang? 

Tuhan. 

Insan-insan yang tiada kaitan dan saling tak dikenali, telah diaturkan untuk bertemu agar seorang bayi berusia 4 bulan tidak tidur kelaparan malam ini. Rezeki mengalir daripada jurujual kepada doktor, lalu kepada si ibu, dan akhirnya kepada si anak. 

Maka, setelah saya beri sampel-sampel susu formula itu kepada si ibu, saya titipkan sedikit lagi wang belanja untuk si ibu beli keperluan lain untuk dirinya dan keluarga. Si ibu terus menutup mulut dan menangis. Saya turut ikut berasa sebak. Bukan sedih, tapi tumpang gembira.

Benarlah bahawa dalam rezeki kita, ada rezeki insan lain. Maka jangan pernah berasa rugi bila memberi. Tak usah berasa berhak kepada semuanya. Rezeki yang dikurniakanNya sungguh luas, cukup untuk dikongsikan dengan semua yang ada di muka bumi ni.

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kongsi Rezeki
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post