NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sekolah Vernakular Tidak Cukup Sifat Kebangsaan - Prof Datuk Dr Teo Kok Seong


Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 29 Rabiulawal 1442H, Ahad – Anggapan kononnya sekolah kebangsaan tidak bermutu serta terlalu Islamik didakwa menjadi punca ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah vernakular serta pendidikan swasta yang lain.

Sedangkan sekolah kebangsaan – yang menawarkan sistem pendidikan nasional – sangat penting dan diperlukan oleh setiap anak bangsa negara ini.
 
Selain menjadi kekuatan kepada sistem pendidikan, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sekolah kebangsaan juga merupakan wadah perpaduan.

“Sementara sekolah vernakular itu bukan kebangsaan sepenuhnya ala-ala kebangsaan dan pendidikan yang diperkenalkan di situ bukan 100 peratus kebangsaan sifatnya.

“Jadi ini satu masalah besar yang perlu diselesaikan oleh kerajaan kerana sekolah kebangsaan yang sepatutnya menjadi popular dan pilihan utama ibu bapa sudah menjadi sekolah yang cuba dielakkan oleh mereka, baik bukan Melayu dan sesetengah Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Prof Kok Seong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan bahawa lebih ramai pelajar Melayu dan India memasuki sekolah vernakular Cina tahun ini berbanding 2010.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, data kemasukan pelajar Melayu menunjukkan peningkatan daripada 9.15 peratus pada 2010 kepada 15.33 peratus tahun ini.

Katanya, pelajar India dan kaum lain turut meningkat sedikit daripada 1.67 peratus kepada 2.75 peratus dan 1.02 peratus kepada 1.67 peratus dalam tempoh sama.

Mengulas lanjut, Prof Kok Seong mendakwa tindakan ibu bapa Melayu tidak menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana berpandangan ia tidak bermutu.

Manakala bagi ibu bapa bukan Melayu pula dakwanya, mereka mempunyai persepsi bahawa sekolah kebangsaan sejak kebelakangan ini bersifat terlalu Islamik.

“Persepsi mereka bahawa sekolah kebangsaan sudah menjadi sekolah agama Islam. Dengan itu mereka tidak mahu lagi menghantar anak-anak mereka ke sana dan menghantar ke sekolah Cina ataupun kalau mereka berkemampuan ke sekolah swasta atau sekolah antarabangsa.

“Sekolah swasta dan antarabangsa itu mereka akan dapat satu kelebihan iaitu pendidikan bahasa Inggeris yang tidak seberapa terjamin di sekolah jenis kebangsaan Cina,” dakwanya.

- ismaweb

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo