NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pekerja Terjejas COVID-19 Boleh Keluar Duit KWSP Sehingga RM60 Ribu Melalui Skim I-Sinar

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperluaskan skop i-Sinar merangkumi ahli kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

KWSP dalam kenyataan hari ini, memaklumkan i-Sinar akan memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion tersedia untuk ahli layak.

"Ahli layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020. Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat.

"Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Jumlah pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan," katanya.

Menurutnya, ahli layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, namun tertakluk kepada baki minimum RM100.

Katanya, ahli mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah di dalam Akaun 1, akan mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000.

"Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

"Ahli mempunyai baki lebih daripada RM90,000 dalam Akaun 1, akan mempunyai akses 10 peratus, namun jumlah maksimum boleh didahulukan adalah RM60,000.

"Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000," katanya.

Menurut kenyataan itu, ahli memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun didahulukan.

Katanya, caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan diterima digantikan semula.
"Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2.

"Ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi menentukan amaun diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar serta memastikan kelangsungan hidup semasa krisis.

"Maklumat lebih lanjut serta butiran terperinci mengenai kelayakan i-Sinar serta terma dan syarat akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar menerusi Belanjawan 2021.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipetik berkata, kebenaran secara bersasar itu akan membolehkan ahli KWSP mengeluarkan RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo