NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Setiakawan dan Strategi Lapuk Dalam PH

Ada dua isu yang saya mahu ketengahkan. Pertama, beberapa hari lalu, Adun Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar wakil Pan, menyiarkan sekeping gambar beliau dan 'otai' Umno Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) bertemu bagi memujuk Kuli untuk menolak Bajet 2021. Walaupun dalam keadaan YDPA menyeru agar diketepikan politik yang tidak membawa keuntungan kepada rakyat, Adun Meru ini memilih sebaliknya. Tegar benar kelihatannya.

Selang beberapa hari kemudian, keluar pula berita yang beliau telahpun menyertai PKR melalui Cabang Petaling Jaya. Sehingga tulisan ini ditulis, beliau memilih mendiamkan diri dari menjawab persoalan ini, walaupun sudah dibuktikan dengan nombor keahliannya di PKR Petaling Jaya. Khabarnya beliau berpindah parti kerana mendapat tahu orang lain akan mengambil tempatnya. Wallahua'lam.
Fakhrulrazi ialah bekas Bendahari Pemuda PAS Malaysia sebelum keluar PAS bersama dengan 18 orang bekas pimpinan PAS Pusat dan menubuhkan Pan. Sewaktu di dalam Pemuda PAS lagi, beliau telah menunjukkan unsur-unsur pemberontakan terutama kepada Presiden PAS dengan beberapa ucapan beliau yang jelas menyindir Presiden. Makan dari dalam. Bak kata pepatah, perpat di luar, rencong di dalam.

Pan kemudiannya melalui Ketua Pemuda Kelantan, segera memberikan amaran kepada Anwar dan PKR kerana mengambil Adun mereka. Persoalan yang Pan mesti selesaikan terlebih dahulu sebelum marah-marah ialah, adakah Adun Meru itu dirampas oleh PKR atau dia sememangnya orang PKR semenjak dahulu yang menyelinap dalam Pan. Jika yang pertama, semestinya lah Pan marah. Tetapi jika yang kedua, PAS dah tahu lama dah perangai PKR.

Kedua. Anwar memerli kenyataan Menteri Kewangan yang mengatakan bahawa sekiranya Bajet 2021 tidak disokong, maka kakitangan kerajaan tidak akan mendapat gaji sebagai satu ugutan. Anwar menjelaskan bahwa bukan semua dalam bajet itu mereka tidak menyokongnya, hanya beberapa perkara (kebetulan perkara itu ada yang sama dengan kehendak Najib).

Anwar segera menjelaskan bahawa bukan semua kandungan bajet itu mahu ditolak. Hal berkenaan kesihatan, emolumen dan belanja mengurus akan disokong. Tetapi ada beberapa perkara lain yang PH akan bangkang. Adakah anda semua perasan, ayat beliau guna ini seperti pernah didengar, tetapi ketika itu, kumpulan mereka amat memarahinya.

Ya, ia telah dilakukan oleh PAS ketika perbahasan Bajet 2018. PAS menegaskan mereka menyokong segala keperluan utama dalam pembentangan Bajet 2018 dan menolak perkara-perkara yang menjadi isu besar negara ketika itu. Maka PAS berpendirian yang mereka akan berkecuali dan pengundian Bajet 2018 kerana akibat daripada penolakan bajet, ia akan mengakibatkan kakitangan awam tidak mendapat gaji.

Nampaknya Anwar sentiasa terkebelakang dalam berpolitik. Ketika UG dicadangkan oleh Presiden PAS dahulu, mereka bantah. Kemudian mereka reka Konsesus Nasional, malu nak sebut UG. Bila PAS menentang sebahagian daripada bajet, mereka marah, kemudian mereka buat juga. Tidak pulak kelihatan marah. Bila PAS berkerjasama dengan Umno, PH memaki hamun PAS, selang tidak lama, memujuk rayu pulak PH pada Umno, ajak bersama bina kerajaan.

Hebatkan Presiden PAS, mendahului dalam pasaran politik. Eh, lupa, mana pergi pakar perlembagaan PH? Lama sungguh dia senyap lepas kena sengat dengan Faizal Azumu. Cukuplah merajuk tak boleh jadi MB Perak tu. Takkan tak ada jalan perlembagaan nak naik. Kata pakar perlembagaan.

Kelihatannya PKR melalui Anwar, masih mengekalkan gaya lama mereka. Jadi bagaimana agaknya Kuli mahu mempercayai ajakan Adun Meru untuk menolak bajet, sedang dalam masa yang sama, dia juga lari dari rakannya yang sudah lama dikenali? Dan Anwar pula, asyik mengikut strategi lapuk orang jer. Tapi ikutlah macamana PH nak selesaikan hal dengan Anwar ni. Pandai-pandai lah ya.

Mohd Nasir Abdullah
16 November 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo