NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan politikkan lagi Belanjawan 2021


Oleh Sarfarizmal Md Saad

JUMAAT ini, semua rakyat Malaysia akan tertumpu ke Dewan Rakyat untuk sesi pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Seperti kebiasaan dan umum mengetahui, belanjawan tahunan negara memerlukan kelulusan Parlimen sebelum wang berkenaan dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat.

Setiap tahun belanjawan pasti berbeza mengikut ‘selera’ pemerintah dan rakyat kebanyakan. Namun Belanjawan 2021 ini agak istimewa dan bersifat lebih ‘kecemasan’ berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kelulusan Belanjawan 2021 amat diperlukan bagi mengatasi krisis kesihatan awam dan masalah kelembapan ekonomi semasa. Ini semua akibat serangan tanpa henti dari virus pandemik Covid-19 sejak hujung tahun 2019.

Kenapa dikatakan belanjawan kali ini berbeza? Selain keperluan mendesak untuk mengurus isu pandemik dan ekonomi, Belanjawan 2021 juga tidak lagi mengharapkan sebuah belanjawan seimbang antara pendapatan dan perbelanjaan.

Sebaliknya, Belanjawan 2021 adalah satu-satunya (setakat ini) belanjawan yang disifatkan penting untuk kelangsungan hidup rakyat dan negara. Untuk kali ini, rakyat tidak mahu mendengar tentang belanjawan seimbang tetapi mahu melaluinya pandemik Covid-19 dapat ditangani dan kualiti hidup rakyat masih berada pada paras normal.

Bagi pihak kerajaan pula, sudah tentu Belanjawan 2021 antara yang paling ‘menyakitkan’ kerana situasi telah berubah banyak. Dikala pandemik Covid-19 menyerang seluruh dunia, pendapatan negara melalui cukai dan bukan cukai merosot teruk.

Simpanan wang negara makin susut kerana terpaksa dikeluarkan bagi membantu rakyat yang terjejas. Pendapatan negara pula tidak sebanyak sebelum ini, mungkin hanya ‘cukup-cukup makan’ sahaja.

Walau apapun cara, kerajaan melalui Belanjawan 2021 harus meletakkan fokus terhadap inisiatif dan elaun tambahan kepada barisan hadapan melawan Covid-19 sejak 2019.

Mereka yang berada dalam sektor swasta juga tidak boleh dilupakan sama sekali. Suatu bentuk suntikan modal atau kewangan perlu diperkemaskan untuk swasta agar wang terus mengalir di pasaran dalam negara.

Beberapa kementerian dan jabatan kerajaan juga harus diberi penekanan yang lebih jitu. Jangan ada yang berbunyi pula selepas ini kononnya kerajaan masih menjadilan sesetengah kementerian sebagai ‘anak emas’ dengan pemberian peruntukan yang lebih besar dari kebiasaan.

Kementerian dan jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dalam soal kebajikan, kesihatan, kewangan, pendidikan dan komunikasi wajar didahulukan untuk menerima peruntukan tertinggi.

Semua golongan perlu diberi perhatian bukan hanya mengira B40 atau M40 kerana semua orang terjejas. Sekiranya kerajaan gagal untuk mengurangkan penderitaan mereka pastinya kerajaan yang tidak tidak mampu bertahan lama.

Terdapat golongan yang berada di luar M40 meskipun pendapatan isi rumah tinggi tetapi mereka juga berdepan dengan tanggungan yang besar. Birpun masih berada dalam kelompok pertengahan, ada antara suami dan anak mereka yang kini tidak lagi bekerja.

Inisiatif dan bantuan serta peruntukan kewangan untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi negara kini terletak ditangan 222 ahli Parlimen yang dilantik rakyat Mac 2018 dahulu.

Inilah masanya untuk barisan Ahli Parlimen menyatakan solidariti melawan kesan pandemik Covid-19 dengan cara menyokong Belanjawan 2021, Jumaat ini.
Sokongan mereka adalah tanda terima kasih kepada rakyat.

Rakyat bukan bodoh. Setiap tindak-tanduk terus menjadi pemerhatian rakyat yang bakal dibalas apabila ada pilihan raya nanti. Rakyat ingin tahu benarkah, nasib mereka atau tembolok rakyat yang dibela. Jadilah wakil rakyat yang bijaksana.

– BebasNews

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo