Belanjawan 2021: Apa rakyat harapkan?


BELANJAWAN atau Bajet 2021 kali ini lebih unik memandangkan kerajaan memerlukan sejumlah wang yang agak besar untuk memastikan penularan wabak berjangkit Covid-19 dapat dibendung.

Malah, pada 28 Ogos lalu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menitahkan semua ahli Parlimen agar mengutamakan kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini diluluskan tanpa sebarang gangguan.

Titah itu dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan di Istana Negara ekoran cadangan darurat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong yang sebenarnya bimbang terhadap sokongan ahli-ahli Parlimen pada pembentangan bajet itu nanti.

Antara cadangan yang paling banyak dikemukakan adalah supaya kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan jumlah had-had tertentu dan syarat-syarat tertentu.

Perkara sama turut dicadangkan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) ketika perjumpaan Timbalan Ketuanya, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bersama ahli-ahli Parlimen PAS yang lain dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz awal minggu ini.

Selain itu, Ustaz Ahmad Fadhli turut mencadangkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan digital memandangkan kebanyakan usahawan yang terlahir selepas penularan Covid-19 memulakan perniagaan melalui atas talian.

Katanya, kebanyakan syarikat-syarikat yang ditubuhkan selepas pandemik Covid-19 melanda adalah melibatkan usahawan digital.
Perjumpaan ahli-ahli Parlimen PAS dengan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) pada awal minggu ini. – Foto FB Tengku Zafrul

Didapati sehingga hari ini, sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukan untuk kelompok ini melalui pakej Prihatin, Prihatin 2.0, dan Penjana.

Antara cadangan lain yang seharusnya diberi tumpuan kerajaan adalah menaik taraf kebolehcapaian internet di sesuatu kawasan terutamanya kawasan luar bandar yang menjadi isu besar.

Kata Ustaz Ahmad Fadhli, perlu ada suntikan khusus untuk meningkatkan tahap capaian internet, apatah lagi di era kesemua perkara termasuk sesi pembelajaran dilakukan secara atas talian.

Sementara itu, Pemuda Umno Malaysia turut berpandangan sama perihal kebenaran pengeluaran Akaun 1 KWSP selain mengesyorkan supaya kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 atau 6 bulan.

Dalam usaha meningkatkan aliran tunai rakyat, Pemuda Umno turut mencadangkan Bantuan Khas Sara Hidup bagi individu yang dibuang kerja atau hilang punca pendapatan selain mencadangkan beberapa bantuan lain.

Antaranya, bantuan e-wallet RM50 selama 12 bulan bagi tujuan pembelian data telefon, lanjutan penangguhan bayaran sewa bulan kepada penduduk PPR/PPRT, lanjutan bayaran balik PTPTN, pengurangan cukai pendapatan dan lain-lain lagi.

Dalam masa sama, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) turut menyenaraikan cadangan kepada kerajaan untuk disenarai masuk ke dalam Belanjawan 2021.

Antaranya, menyediakan peruntukan sewajarnya untuk petugas-petugas barisan hadapan agar kelengkapan seperti alat pelindung diri (PPE) sentiasa mencukupi untuk berhadapan Covid-19 dengan memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang kritikal seperti Sabah dan Selangor.

DPIM turut mencadangkan elaun tambahan kepada petugas barisan hadapan selain meluaskan kepada sukarelawan barisan hadapan serta kenaikan pangkat atau gaji atau bonus kepada penjawat awam yang bertungkus-lumus membantu pentadbiran negara.

Bukan itu sahaja, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) juga turut tampil dengan 10 cadangan khusus untuk Belanjawan 2021 di mana memfokuskan idea penciptaan pekerjaan dan sokongan akses kepada pendidikan.

Antaranya, melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021, kempen ‘1 Keluarga, 1 Laptop’, bantuan RM50 kepada pelajar universiti, bonus dua bulan kepada pekerja barisan hadapan, dan lain-lain lagi.

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengumumkan penarikan diri beliau daripada Parti Pejuang baru-baru ini juga turut menyenaraikan beberapa cadangan yang memfokuskan pendidikan.

Maszlee mencadangkan supaya elaun khas diberikan kepada guru-guru dalam tempoh 6 bulan selain mengesyorkan insentif khas kepada keluarga miskin yang menghantar anak ke sekolah berdasarkan dapatan kajian bahawa 1 daripada 5 murid hilang minat ke sekolah selepas PKP dilaksanakan.

Beliau turut mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan geran khas kepada pengusaha kantin sekolah dan bantuan khusus untuk pekerja kantin yang turut terjejas sepanjang PKP serta geran khas IPTA untuk penghasilan bahan pengajaran dan pembelajaran berkualiti atas talian.

Tidak melepaskan peluang, barisan pembangkang, Pakatan Harapan turut menyenaraikan beberapa cadangan khusus untuk Belanjawan 2021.

Antaranya, memperkasakan perlindungan sosial, jaringan keselamatan dan pembayaran kebajikan kepada golongan berisiko dan penganggur.

Meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan untuk Covid-19 dan penyakit tidak berjangkit (NCD), serta meneruskan subsidi upah sehingga 31 Mac 2021 selain mewujudkan 600,000 pekerjaan seperti Program Malaysia@Kerja yang menyediakan insentif untuk tempoh dua tahun kepada majikan dan pekerja berharga RM13 bilion dan pelbagai lagi cadangan lain.

Rakyat akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Jumaat ini, iaitu pada 6 November.

Setakat yang dilaporkan Tengku Zafrul pada Isnin lalu, sebanyak 6,600 cadangan telah diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021 bersama parti politik dan melalui laman web Belanjawan 2021 pada Isnin.

Katanya, ia termasuk lebih 170 cadangan yang telah diterima susulan perjumpaan bersama ahli politik.

Secara amnya, kebanyakan cadangan tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan Covid-19 menjelang tahun 2021.

Antara sektor dengan cadangan tertinggi termasuklah kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Justeru itu, kata Tengku Zafrul, kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan nanti.

Tambah beliau, sejak Julai, lebih 40 sesi konsultasi telah diadakan melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan.

Ia termasuk sesi turun padang ke setiap negeri buat kali pertamanya dalam sejarah kementerian untuk mendekati rakyat dan perniagaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Tengku Zafrul.

Cadangan DPPM
Pengeluaran wang dari akaun 1 KWSP dicadangkan untuk dibenarkan oleh kerajaan pada had tertentu. (respon daripada YB Menteri ; sekitar 45 peratus daripada pencarum KWSP mempunyai wang kurang daripada RM10,000 dalam akaun 1).
Tumpuan khusus perlu diberikan oleh kerajaan untuk program upskilling terutama yang melibatkan anak-anak muda. Kementerian-kementerian pemegang taruh seperti KBS, KSM dan KPLB wajar diberikan peruntukan tambahan untuk memperkasakan bidang kemahiran.
Memperkasakan pembangunan usahawan digital memandangkan kebanyakan syarikat yang ditubuhkan selepas wabak pandemik Covid-19 melanda pada awal tahun ini ialah melibatkan usahawan digital. Sehingga ke hari ini sebenarnya sebanyak RM1.2 bilion telah diperuntukan di dalam pakej Prihatin, Prihatin 2.0 dan Penjana untuk pembangunan usahawan digital.
Tumpuan khusus kepada Kelantan terutamanya projek-projek yang sepatutnya telah dimulakan sejak sekian lama seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan pembesaran lebuh raya Gua Musang-Kota Bharu. Termasuk juga dalam isu ini ialah dana khusus bagi meningkatkan perkhidmatan bekalan air di Kelantan.
Pengumuman berhubung dengan royalti minyak yang wajar diterima oleh Kelantan. Saya cadangkan supaya Menteri Kewangan dapat mengumumkan jumlah yang benar-benar akan diperuntukan oleh kerajaan Malaysia kepada Kelantan sebagai bayaran royalti minyak.
Pembangunan infrastruktur dan capaian internet yang menjadi isu besar dalam kalangan masyarakat luar bandar. Perlu ada suntikan khusus untuk meningkatkan tahap capaian internet terutamanya pada ketika mahasiswa terpaksa belajar atas talian seperti hari ini.

Cadangan DPIM

(1) Peruntukan yang sewajarnya untuk petugas-petugas barisan hadapan, agar kelengkapan seperti alat pelindung diri (PPE) sentiasa mencukupi ketika berhadapan Covid-19. Tumpuan harus diberikan di negeri-negeri yang kritikal seperti Sabah dan Selangor.

(2) Elaun tambahan kepada petugas barisan hadapan yang sudah berperang Covid-19 sejak bulan Mac. Elaun tambahan ini juga perlu diperluas kepada sukarelawan barisan hadapan.

(3) Moratorium secara automatik kepada seluruh rakyat sehingga Mac 2021 agar ekonomi tempatan dapat dijana. Moratorium secara bersasar kepada syarikat-syarikat kecil seperti IKS agar mereka tidak gulung tikar.

(4) Penjawat awam yang bertukus-lumus membantu pentadbiran negara ketika ketidaktentuan politik perlu diberikan penghargaan, melalui kenaikan pangkat dan gaji atau pun bonus.

(5) Rakyat yang dibuang pekerjaan perlu diberikan bantuan tambahan selain daripada BSH atau moratorium. Dana keusahawanan perlu ditambah dan diagihkan dengan adil kepada rakyat tanpa mengira fahaman politik.

(6) Tunda apa jua projek-projek mega yang memerlukan dana yang besar. Peluang pekerjaan boleh dicipta melalui pengagihan projek-projek kecil meliputi seluruh negara, tanpa hanya tertumpu di kawasan projek mega.

(7) Kerajaan perlu memberikan bantuan kepada anak muda di institusi pengajian tinggi. Sektor pendidikan tinggi perlu diberikan dana tambahan dalam usaha transformasi institusi pengajian tinggi ke arah pengajian atas talian, dalam keadaan norma baharu.

(8) Rakyat di luar bandar memerlukan jaringan internet yang bagus agar anak-anak di sekolah tidak tercicir. Keadaan hari ini memaksa guru-guru dan anak murid belajar secara atas talian. Akses kepada internet yang laju amat penting agar proses pembelajaran dapat diteruskan.

(9) Bantuan kepada golongan B40 perlu diteruskan. Bantuan sebegini dapat membantu meringankan beban rakyat di bawah.

(10) Kurangkan elaun ahli Parlimen, jemaah menteri, ahli-ahli Lembaga Pengarah GLC. Rakyat mahu melihat pemimpin mereka berkorban di saat yang getir ini. Ketika ramai hilang pekerjaan, dikurangkan gaji serta elaun, dan perniagaan terjejas teruk, maka tidak adil jika elaun dan gaji pemimpin seolah-olah ‘business as usual‘. – HARAKAHDAILY 3/11/2020
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post