Belanjawan 2021: Belanjawan Kita Semua - Tahniah & Terima Kasih Kerajaan Persekutuan




Alhamdulillah, walaupun masih dalam proses rawatan, saya tetap mengikuti pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan dengan penuh minat dan teliti.

Pastinya semua rakyat Malaysia menantikan pembentangan ini sementelah kita masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Boleh saya katakan bahawa Belanjawan 2021 yang bertemakan 'Teguh Kita, Menang Bersama' telah mengemukakan matlamat, strategi dan inisiatif yang merangkumi semua isu dan benar-benar menyerlahkan keprihatinan Kerajaan terhadap semua segmen masyarakat. Inilah #BelanjawanKitaSemua.

Saya percaya, belanjawan ini adalah hasil daripada pendekatan yang inklusif dan strategik oleh Kerajaan melalui sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk merentas semua negeri dan parti politik. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.

Secara ringkasnya, kita dapat melihat usaha Kerajaan memelihara kebajikan rakyat melalui pengawalan dan pencegahan COVID-19, pengukuhan aliran tunai isi rumah, jaminan peluang pekerjaan, serta menjana semula sektor ekonomi dan perniagaan yang telah terkesan teruk.

Dalam masa yang sama tidak meninggalkan usaha memperkasakan agenda Bumiputera dan Islam.

Belanjawan pada kali ini juga, menumpukan inisiatif kepada golongan yang berpendapatan rendah dan terjejas terutamanya golongan B40, termasuklah kepada peniaga kecil, petani, nelayan dan pelbagai kelompok kecil sektor ekonomi.

Begitu juga dengan kesinambungan pelaksanaan inisiatif pembangunan infrastruktur kemudahan dan fasiliti dalam menempuh cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Mengambil kesempatan ini juga, saya mewakili Kerajaan Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih atas pengumuman untuk menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang.

Saya juga menyeru rakyat Terengganu, untuk mengambil manfaat daripada pelbagai inisiatif Belanjawan 2021, terutamanya dalam menjamin kesejahteraan hidup, kelangsungan perniagaan, dan ketahanan ekonomi rakyat.

Insya-Allah, pada 23 November nanti, saya akan membentangkan Belanjawan 2021 Terengganu Darul Iman yang menggariskan lima (5) teras utama.

Sekali lagi, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas pembentangan Belanjawan 2021 yang inklusif dan komprehensif. Semoga Allah SWT mempermudahkan kita semua keluar dari krisis yang sedang melanda dunia.

"Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera"

Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post