Responsive Ad Slot

Agong zahir penghargaan semua ahli Dewan Rakyat sokong Belanjawan 2021

KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 pada persidangan Dewan Rakyat,hari ini.





Al-Sultan Abdullah juga mengalu-alukan sokongan yang telah diberikan bagi kelulusan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Titah baginda dinyatakan dalam satu kenyataan melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada Khamis.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

"Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman pandemik COVID-19.

"Selaku Ketua Negara, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini. Seri Paduka Baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat," kata kenyataan lagi.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ianya amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini,"ujar kenyataan itu, pada Khamis.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo