NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

8 Soalan Berkaitan Isu “Bolehkah Pilihan Raya Ditangguhkan?”


Assalamu’alaikum wrt wbt. Moga para pembaca sentiasa dalam rahmat Ilahi Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 

Telah beberapa hari saya berdiam diri kerana menumpukan perhatian kepada beberapa kajian berkenaan permasalahan undang-undang semasa. Timbul saman pemula berkaitan tindakan Yang di-Pertuan Agong yang dikatakan tidak mengikut nasihat Jemaah Menteri dan juga isu pilihan raya tidak boleh dielakkan walaupun dalam keadaan pandemik. Saya telah menyiapkan draf tulisan mengenai kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong pada awal pagi Jumaat lepas, 30hb Oktober 2020, iaitu sebelum dilaporkan kes saman pemula yang dimaksudkan. Namun saya masih belum berpuas hati dan belum bersedia untuk dikongsi bersama pembaca. Saya akan meneruskan pembacaan dan analisis mengenainya dan insyaAllah akan berkongsi dalam masa terdekat.

Sejak lewat petang semalam dan hari ni, saya meneliti pandangan netizen. Saya dapati mereka amat prihatin dan berminat mengeluarkan pendapat. Justeru, saya fikir saya perlu berkongsi tentang kedudukan undang-undang berkaitannya. Oleh kerana isu ini tidak begitu kompleks berbanding soal undang-undang kuasa budi bicara, saya dapat berkongsi dengan segera. 

Paparan ini memberi perhatian terutamanya kepada peruntukan undang-undang dan kesannya. Saya memetik peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan saya cuba ulas isu-isu berbangkit dalam bahasa lebih mudah untuk pembaca memahaminya. Hasrat saya ialah supaya para pembaca dapat meneliti peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya dapat juga memahami implikasinya. 

Di bawah terdapat lapan soalan besar yang saya cuba jawab. Saya ambil soalan-soalan ini dari inbox halaman Facebook saya dan Messenger akaun peribadi Facebook saya. Sebahagian lagi adalah dari soalan yang dikemukakan oleh wartawan kepada saya.
-----------------------------------------------------------

SOALAN 1
Mestikah Pilihan Raya dilaksanakan dalam masa 60 hari selepas kekosongan luar jangka, seperti kematian atau hilang kelayakan, diisytiharkan?

Jawapan:
Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan yang bertajuk “Kekosongan di dalam Dewan Negara dan kekosongan luar jangka” menyatakan, 

(1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Fasal (3), apabila terdapat sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara atau sesuatu kekosongan luar jangka di kalangan ahli Dewan Rakyat, maka kekosongan atau kekosongan luar jangka itu hendaklah diisi dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara bahawa ada kekosongan atau oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bahawa ada kekosongan luar jangka, mengikut mana-mana yang berkenaan, dan suatu pilihan raya hendaklah diadakan atau suatu pelantikan hendaklah dibuat dengan sewajarnya:

Dengan syarat bahawa kegagalan membuat apa-apa pelantikan sedemikian dalam tempoh yang dinyatakan dalam Fasal ini tidaklah menidaksahkan apa-apa pelantikan yang dibuat di luar tempoh itu:

Dengan syarat selanjutnya bahawa, jika kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dipastikan pada suatu tarikh dalam masa dua tahun dari tarikh Parlimen akan terbubar mengikut Fasal (3) Perkara 55, maka kekosongan luar jangka itu tidak boleh diisi melainkan jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya secara bertulis bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Rakyat terjejas oleh kekosongan itu, dan dalam keadaan sedemikian kekosongan itu hendaklah diisi dalam masa enam puluh hari dari tarikh pemberitahuan itu diterima.

(2) (Dimansuhkan).

(3) Jika sesuatu kekosongan di kalangan ahli Dewan Negara adalah berhubungan dengan suatu kekosongan yang hendaklah diisi oleh seorang ahli yang hendaklah dipilih oleh sesuatu Negeri mengikut Jadual Ketujuh, maka peruntukan Fasal (1) tidaklah terpakai bagi mengisi kekosongan itu.
Kekosongan hendaklah diisi dalam masa 60 hari

Huraian saya, Fasal (1) membawa maksud, sekiranya berlaku kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat maka kekosongan tersebut HENDAKLAH diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan kekosongan tersebut telah berlaku dan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, DAN pilihan raya HENDAKLAH diadakan. 

Adakah pilihan raya perlu dibuat dalam masa 60 hari?
Tidak dinyatakan secara frasa jelas dalam Fasal (1) bahawa pilihan raya hendaklah diadakan dalam masa 60 hari. Namun, apabila kekosongan tersebut perlu diisi dalam masa 60 hari, maka secara mafhumnya pilihan raya hendaklah diadakan dalam masa 60 hari. 

Kekosongan Luar Jangka dalam masa dua tahun sebelum Parlimen bubar wajib
Sekiranya kekosongan luar jangka itu berlaku pada satu tarikh dalam masa DUA tahun dari tarikh Parlimen bubar wajib setelah mencapai umur LIMA tahun bawah Perkara 55(3), kekosongan tersebut tidak perlu diisi. Walaubagaimana pun, kekosongan tersebut (dalam masa dua tahun sebelum Parlimen bubar wajib) boleh diisi sekiranya Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Speaker) menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya memberitahu kekuatan bilangan majoriti parti yang memerintah adalah terjejas.

Kegagalan membuat Pelantikan dalam masa 60 hari sah hanya bagi maksud Dewan Negara

Pada syarat pertama dalam Fasal (1), ia menyatakan dengan maksud…
KEGAGALAN membuat apa-apa pelantikan sedemikian dalam tempoh yang dinyatakan dalam Fasal (1) (iaitu 60 hari) adalah sah. Syarat ini adalah bagi tujuan Dewan Negara, bukan Dewan Rakyat, kerana ia menggunakan istilah “pelantikan”, yang merujuk kepada pelantikan ahli Dewan Negara. Kerusi Dewan Rakyat tidak menggunakan istilah lantikan, tetapi istilah umum, iaitu “diisi”.
Walaubagaimanapun, perlu dinyatakan tafsiran di atas ada tafsiran saya kerana mahkamah belum memutuskan dalam mana-mana kes tafsiran sebenar Fasal ini.
------------------------------

SOALAN 2
Apakah yang akan berlaku sekiranya pilihan raya tidak diadakan dalam masa 60 hari atau kekosongan tidak diisi dalam masa 60 hari?

Jawapan:
Sekiranya pilihan raya tidak diadakan dalam masa 60 hari dan seterusnya kekosongan luar jangka tidak diisi dalam masa 60 hari, ia adalah melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. 
-------------------------------

SOALAN 3
Adakah wujud undang-undang lain yang membolehkan pilihan raya TIDAK diadakan menurut Perkara 54 Perlembagaan; bolehkah Akta 342 atau arahan Suruhanjaya Pilihan Raya digunakan bagi menangguh pilihan raya dan menangguh pengisian kekosongan di Dewan Rakyat?

Jawapan:
Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, maka setiap tindakan badan kerajaan, termasuk pihak eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman serta semua pihak hendaklah mematuhinya. 

Sekiranya peruntukan Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi, kesannya kelak ialah tindakan tersebut menjadi suatu yang tidak berperlembagaan. Sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (atau kerajaan) enggan melaksanakan pilihan raya maka tindakan tersebut adalah tidak berperlembagaan. 

Apa kesannya kalau suatu tindakan itu tidak berperlembagaan?
Kesannya mungkin terdapat tindakan undang-undang yang boleh dilakukan ke atas kerajaan untuk memenuhi tuntutan peruntukan dalam perlembagaan tersebut tersebut. Walaupun mungkin tiada tuntutan seumpama itu tidak akan dibuat oleh mana-mana pihak, pengisian kekosongan dalam Parlimen perlu dibuat kerana ia adalah kehendak demokrasi berparlimen.

Bolehkah pilihan raya diadakan, tetapi parti politik enggan bertanding?
Ya. Boleh. Suruhanjaya Pilihan Raya boleh mengumumkan hanya seorang calon dan calon itu boleh diisytiharkan sebagai menang tanpa bertanding. Sekali gus pilihan raya tidak perlu berlangsung sebagaimana kebiasaan. Tidak perlu proses pemilihan.

Adakah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan Suruhanjaya Pilihan Raya boleh diperkasa untuk menghalang pilihan raya?
Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 ialah Akta yang terpakai sepanjang pandemik COVID-19 di Malaysia. Sebagai sebuah Akta, sifat Akta 342 ini ialah ia hendaklah sentiasa mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak boleh berbuat sesuatu yang mengatasi Perlembagaan kerana Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara dan mana-mana undang yang dibuat selepas Merdeka adalah tidak sah sekiranya tidak selaras dengan Perlembagaan (setakat mana tidak selaras). Begitu juga dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. Suruhanjaya tidak boleh berbuat sesuatu yang tidak selaras dengan Perlembagaan. 
-------------------------

SOALAN 4 
Bolehkah Perlembagaan dipinda bagi membolehkan pilihan raya ditangguhkan dan tidak diadakan dalam masa 60 hari?

Jawapan:
Ya. Perlembagaan boleh dipinda bagi tujuan menangguhkan pilihan raya, dengan syarat pindaan tersebut mendapat sokongan dua pertiga majoriti daripada (keseluruhan) ahli Dewan Rakyat sebagaimana kebiasaan prosedur pindaan kepada Perlembagaan.

Sekiranya pindaan tersebut mencadangkan tiada had masa, atau memanjangkan had masa kepada pilihan raya diadakan, ia boleh membuka ruang kepada tidak berlakunya pilihan raya dan ini memberikan kuasa yang besar kepada kerajaan, sehingga tidak mahu mengadakan pilihan raya. Pindaan sebegini tidak dapat memenuhi syarat demokrasi yang memerlukan pilihan raya diadakan pada satu masa yang ditetapkan.

Sekiranya Perlembagaan dipinda bagi tujuan memanjangkan tempoh 60 hari untuk pilihan raya di Batu Sapi, ia perlu bersifat retrospektif (kebelakang) kerana kekosongan kerusi tersebut telah berlaku sebelum pindaan Perlembagaan dibuat. Pindaan tersebut juga akan memberi kesan ke atas kekosongan yang lain walaupun bukan dalam suasana pandemik seperti kini. Sekiranya begitu, pindaan semula perlu dibuat apabila pandemik berakhir.
-----------------------

SOALAN 5
Sekiranya darurat diisytiharkan bolehkah pilihan raya ditangguhkan?

Jawapan:
Ya. Sekiranya darurat diisytiharakan pilihan raya boleh ditangguhkan. 
Ini kerana undang-undang darurat boleh dilaksanakan untuk mengatasi segala peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri. 

Pada masa darurat, Parlimen, atau Yang di-Pertuan Agong, (sekiranya Dewan-Dewan Parlimen tidak bersidang secara serentak) boleh membuat undang-undang walaupun ia adalah tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada beberapa pengecualian yang dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Pada masa darurat, kuasa menggubal undang-undang oleh Parlimen amat luas. Parlimen boleh membuat apa sahaja undang-undang walaupun tidak selaras dengan Perlembagaan. Walaupun begitu, Parlimen tidak boleh membuat undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan mengenai agama, kewarganegaraan dan bahasa. 

Parlimen langsung tidak boleh membuat undang-undang mengenai hukum syarak atau adat Melayu atau mengenai apa-apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Negeri Sabah dan Sarawak. (Lihat Perkara 150(6A))
------------------

SOALAN 6
Bolehkah pilihan raya dibuat semasa keadaan darurat?

Jawapan:
Ya. Pilihan raya boleh juga dilaksanakan semasa darurat. Ini kerana keadaan darurat juga membenarkan undang-undang sedia ada dilaksanakan tanpa apa-apa perubahan. Tiada undang-undang yang menghalang undang-undang yang lazim dan sedang digunakan diteruskan semasa keadaan darurat.
----------------------

SOALAN 7
Bolehkah darurat diisytihar hanya pada sesuatu kawasan tertentu sahaja?

Jawapan:
Ya. Darurat boleh diisytiharkan pada mana-mana wilayah atau kawasan yang diperlukan sahaja, tidak semestinya pada keseluruhan Persekutuan. (Lihat Perkara 150(1)) Perkara ini pernah berlaku yang mana darurat hanya dibuat bagi negeri Sarawak dan Kelantan sahaja.
-------------------------

SOALAN 8
Adakah darurat boleh dibuat atas sebab pandemik?

Jawapan:
Telah diputuskan dalam kes Stephen Kalong Ningkan v Government of Malaysia (1968) 2MLJ 238 (PC), Lord Macdermott membuat pemerhatian berikut:

emergency used in Art 150 cl (1) cannot be confined to the unlawful use or threat of force in any of its manifestations. While Art 149 of the Federal Constitution is aimed at stopping or preventing subversion of that character, the terms of Art 150 are much less restricted. Although an "emergency" to be within that Art must not only grave but such as to threaten the security or economic life of Federation or any part of it, the natural meaning of the word itself is capable of covering a very wide range of situations and occurrences, including diverse events as wars, famines, earthquakes, floods, epidemics and collapse of civil government
Hakim menyebut perkataan “epidemics”, tidak “pandemic”. “Epidemic” adalah keadaan yang lebih ringan berbanding pandemik. Maka pastinya darurat boleh diisytihar atas sebab pandemik kerana keadaannya adalah lebih serius.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo