Sanusi Fail Saman Fitnah Terhadap Mahfuz dan Dr Ismail

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor akan memfailkan saman fitnah terhadap beberapa individu termasuk pemimpin pembangkang yang menuduh beliau terlibat dengan pembelian kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA), baru-baru ini.

Beliau berkata, antara individu yang disaman ialah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar dan bekas Exco kerajaan negeri yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh.

“Setakat ini ada empat orang termasuk Mahfuz dan Ismail. Kemudian ada ‘sardin dan bilis’ yang turut bersama mereka menjadi defendan.

“Sehingga kini, beberapa peguam dilantik dan mereka sedang meneliti lagi nama-nama yang menjadi defendan dalam saman fitnah ini.

“Selain askar siber, ada juga akaun media sosial individu dan palsu yang sedang diselidik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli majlis kerajaan negeri (Exco) di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular dalam media sosial pembelian kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire oleh SADA ekoran beberapa pihak mengaitkannya dengan Muhammad Sanusi.

Penularan berita itu hangat didebatkan di media sosial hingga mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui pengurusan syarikat tersebut semalam untuk meneliti dokumen berkaitan pembelian kereta mewah berkenaan..

Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, beliau menjangkakan kes tersebut difailkan di mahkamah minggu depan melibatkan amaun jutaan ringgit.

“SPRM hendak siasat, saya tak ada masalah. Lagi pun saya dimaklumkan kehadiran mereka ke bangunan SADA bukanlah untuk buat serbuan, sebaliknya cuma menemu bual beberapa pihak,” katanya.

Ditanya mengenai pembelian kenderaan tersebut, Pengerusi SADA itu berkata, beliau dimaklumkan pembelian Toyota Vellfire berkenaan untuk penggunaan secara perkongsian oleh ahli lembaga pengarah, pegawai kanan serta tetamu mereka.

“SADA uruskan pembelian itu sendiri dengan mereka memiliki Lembaga Jawatankuasa Perolehan Aset serta Bahagian Pengurusan Aset. Ada had-had tertentu yang boleh dibelanjakan.

“Saya sendiri memang ada Vellfire tetapi tak naik pun sebab cukai jalan dah mati. Sepatutnya mereka yang buat tuduhan ini mendapatkan penjelasan terlebih dulu sebelum tular dan bukannya tuduh dulu kemudian baru dapatkan penjelasan,’ katanya. – UTUSAN ONLINE

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post