NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

NGO Berkait Azmin Buat 46 Laporan Polis Terhadap Anwar


Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara (PKN) - sebuah NGO yang dilihat sebagai menyokong Azmin Ali - hari ini bertindak membuat laporan polis terhadap Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung kenyataan dia mempunyai sokongan cukup untuk menubuhkan kerajaan persekutuan baru.

Pengerusi PKN Nor Hizwan Ahmad berkata, ia bagi menggesa polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Anwar yang didakwanya membuat kenyataan berbaur hasutan.

“Kami mewakili gabungan badan bukan kerajaan serta pertubuhan-pertubuhan di seluruh negara memaklumkan bahawa secara keseluruhan kami telah membuat sebanyak 46 laporan polis terhadap Anwar Ibrahim.

"Perkara ini amat serius kerana ia berkaitan kenyataan yang disebut dalam sidang media Anwar, yang jelas bukan sahaja percubaan untuk menggugat kestabilan politik tetapi ekonomi negara. Ia malah melanggar Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam perkara 43(4),” katanya dalam sidang media di Subang Jaya, hari ini.

Hizwan yang juga setiausaha politik Zuraida Kamaruddin berkata akan ada lagi laporan polis terhadap Anwar yang bakal menyusul.

Pada 23 September lalu, Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson membuat sidang media khas bagi mengumumkan dia memiliki sokongan majoriti ahli parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan mempunyai "dokumen tetap yang tidak boleh diragui" bagi membuktikannya.

Perkara 43(4) menyatakan perdana menteri perlu meletakkan jawatan jemaah menteri jika tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, kecuali Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.



Mengulas lanjut, Hizwan berkata pihak berkuasa perlu bertindak tegas bagi menghentikan apa yang disifatkannya sebagai kegilaan Anwar untuk menjadi perdana menteri.

“Perkara 43 (4) memperuntukkan apabila perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka perdana menteri hendaklah meletak jawatan melaikan jika atas permintaanya Parlimen dibubarkan oleh Agong.

“Anwar sebelum ini menyatakan kerajaan Muhyiddin telah jatuh. Siapa Anwar yang sewenang-wenang mengumumkan kerajaan telah jatuh.

“Tujuan saya dan kawan-kawan hari ini berhimpun dan membuat laporan polis agar tindakan dapat dilakukan untuk kita menghentikan kegilaan ini," katanya sambil menambah perhatian harus ditumpukan kepada usaha melawan Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Hizwan juga menyifatkan tindakan Anwar sebagai "keganasan terhadap keamaan dan ekonomi negara".

"Jika dibiarkan entah berapa kali pengumuman September lagi akan terjadi. Kita tidak lupa peristiwa 16 Sept 2008 dab kini 23 Sept 2020,” katanya lagi.

Dia juga menggesa Anwar agar tidak lagi mengganggu pentadbiran yang dipimpin Muhyiddin dan bersara dari politik negara.

“Saya ingin mengingatkan supaya beliau terima kenyataan bahawa zamannya telah berlalu, beliau telah memimpin masa silam Malaysia dan tidak lagi sesuai untuk masa depan negara.

“Saya seru beliau untuk memberi dukungan kepada perdana menteri dan seluruh pimpinan kerajaan dalam bersama-sama membangunkan negara pada masa-masa sukar ini,” katanya lagi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo