NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertimbang kerusi untuk PAS - Penganalisa Politik


Kenapa perlu beri jawatan pada Cina walhal pengundi dah tolak mereka. Jika GRS pilih juga wakil Cina, mungkin pilihan raya depan mereka tak kisah pun kalau kalah sebab yakin akan dilantik dalam Kabinet
Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Safar 1442H, Khamis – Tidak menjadi kesalahan sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melantik wakil masyarakat Cina dalam Kabinet negeri yang baharu dibentuk.

Ini kerana, pengundi Cina sendiri menolak parti di dalam Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) – MCA serta Parti Maju Sabah (SAPP) – menjadi wakil mereka berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, dua parti kaum Cina itu gagal memenangi enam kerusi yang ditandingi, malah semua kawasan berkenaan ditawan oleh DAP serta calon Cina, PKR.

“Ini bermakna, kita katakan bahawa pengundi Cina Sabah menolak PN dan parti-parti di bawah BN, dan mereka menolak wakil mereka untuk berada dalam GRS.

“Justeru, adakah wajar dalam sistem demokrasi, wakil yang ditolak itu diambil? Kalau kembali kepada tahun 1955-1959, orang Cina menyokong MCA, maka wajarlah Tunku ambil dan bawa masuk dalam Kabinet,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dr Mat Yazid berkata, langkah itu juga secara tidak langsung akan mendorong pengundi Cina untuk berhati-hati pada pilihan raya akan datang, supaya ada wakil mereka dalam kerajaan gabungan tertentu.

“Jika GRS kekal mengambil wakil Cina, mungkin pada masa depan parti Cina ini tidak lagi kisah jika kalah dalam pilihan raya kerana mereka yakin akan diambil masuk ke Kabinet.

“Saya melihat perkara ini dalam konteks demokrasi, kenapa kita perlu ambil mereka yang kalah dan ditolak rakyat? Tidak kiralah daripada kaum mana sekali pun,” katanya.

Pada PRN lalu, GRS meletakkan calon BN daripada MCA, calon PN daripada SAPP dan calon Cina daripada PBS di kerusi majoriti Cina, namun semuanya kalah dengan Warisan dan rakan sekutunya.

Antara kerusi majoriti Cina itu ialah Api-Api yang ditandingi calon PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai; calon MCA, Lu Yen Tung (Kapayan) dan Dr Chang Kee Ying (Likas) selain calon SAPP di Luyang dan Tanjung Papat.

Sebelum ini, GRS memaklumkan akan berbincang mengenai ketiadaan wakil masyarakat Cina dalam Kabinet baharu Sabah dalam kalangan pemimpin PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, isu itu adalah antara pertimbangan yang akan diambil kira dalam pelantikan lima lagi jawatan menteri, selain jawatan pembantu menteri bagi melengkapkan barisan Kabinet negeri.

Pada masa sama, Dr Mat Yazid turut menyarankan GRS mempertimbang untuk memberi dua posisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik kepada PAS.

“PAS tidak bertanding PRN, tetapi secara tidak langsung ahli-ahli beri sokongan pada PN dan BN.

“Oleh kerana parti itu menang, saya rasa wajar diberikan sekurang-kurangnya dua kerusi kepada PAS untuk memegang jawatan berkaitan seperti menteri pendidikan serta hal berkaitan Bumiputera dan kebajikan masyarakat boleh memberi sumbangan kepada kerajaan negeri,” katanya.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo