Jika Saya Masih Pengerusi Khazanah - Najib Razak

Jika saya masih pengerusi Khazanah Nasional, saya tak akan luluskan penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World pada masa kini dan berdasarkan penilaian (valuation) serta terma yang diumumkan minggu lepas.

Dalam tempoh 9 tahun saya PM dan pengerusi Khazanah Nasional , nilai aset bersih (selepas tolak hutang) Khazanah naik dari RM32 bilion pada akhir tahun 2008 ke RM116 bilion pada akhir tahun 2017 sebelum jatuh ke RM91 bilion pada tahun 2018 dan jatuh lagi ke RM73 bilion dalam tempoh gagalkrasi PH.

Dalam tempoh itu juga, syarikat-syarikat milik Khazanah UEM-Sunrise mencatat purata keuntungan sebelum cukai sebanyak RM391 juta setahun.

Paling rendah ialah RM129 juta pada tahun pertama saya jadi PM iaitu RM129.5 juta. Paling tinggi ialah RM686.3 juta pada tahun 2014. 

Pada tahun 2017, UEM Sunrise juga catat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM433.6 juta.

Namun selepas kerajaan PH banyak menghentikan, melewatkan dan juga menjual projek-projek hartanah UEM-Sunrise termasuk projek-projek mereka di Australia, UEM-Sunrise kini tak banyak projek baru sedang diusahakan sekaligus dapat menokok pendapatan mereka.

Sebab itu, pendapatan UEM-Sunrise jatuh hampir 90% bagi suku kedua tahun 2020 ini kerana tak banyak projek malah mencatat kerugian RM93 juta. Ini semua terjadi ketika pemerintahan gagalkrasi PH.

Tapi paling aneh ialah Khazanah pilih zaman Covid dan UEM Sunrise pada keadaan paling lemah ini untuk teruskan rancangan penggabungan UEM Sunrise dengan syarikat swasta Eco World yang telah bermula 2019 tahun lepas ketika PM7 menjawat sebagai pengerusi Khazanah. 
Setelah meneliti penyata akaun kedua-dua syarikat, saya simpulkan bahawa UEM-Sunrise TIADA KEPERLUAN untuk membeli Eco World untuk kelangsungan mereka sebab wang tunai UEM melebihi RM700 juta dan mempunyai bebanan hutang yang rendah.

Tetapi Eco World lebih perlukan UEM Sunrise kerana Eco World kini dibebani hutang yang tinggi memandangkan banyak tanah milik mereka dibeli hanya beberapa tahun lalu ketika harganya mahal.

Sebaliknya, tanah-tanah milik UEM-Sunrise sudah dibeli sejak puluhan tahun dahulu.

Kebanyakan tanah milik UEM-Sunrise termasuk 5,000 ekar di Iskandar Malaysia masih disimpan UEM dengan harga asal pada tahun 1995 - iaitu dengan harga RM10 setiap kaki persegi.

Jika dinilai semula, tanah di Iskandar Malaysia ini sahaja akan menaikkan nilai tanah UEM sebanyak RM10 bilion memandangkan nilai tanah Iskandar sudah naik ke RM60 setiap kaki persegi pada masa ini.

Sebab itu, kenapa pula UEM-Sunrise hanya menilaikan mereka dengan harga RM1.8 bilion sahaja dalam rancangan pergabungan UEM-Sunrise dengan Eco World?

Lebih-lebih lagi, Iskandar Malaysia merupakan antara stesen utama laluan keretapi pantas HSR Singapura-Kuala Lumpur dan ia juga dalam lingkungan dengan stesen Bukit Chagar untuk keretapi RTS Singapura-Johor.

Ianya hanya akan ambil masa 21 minit untuk perjalanan kereta dari stesen RTS Bukit Chagar melalui Lebuhraya Persisiran Pantai Iskandar.

Sudah tentu nilai Iskandar Malaysia sahaja akan naik lebih tinggi pada masa depan setelah projek-projek rel ini beroperasi.

Selain beban hutang yang tak banyak serta wang tunai yang tinggi, UEM-Sunrise juga ada sokongan Khazanah Nasional dan ianya tidak terdesak seperti Eco World.

Eco World bukan sahaja dibebankan hutang yang tinggi tapi pemilik-pemilik saham utama Eco World juga dilihat seperti terdesak kerana saya tengok mereka terpaksa menjual saham mereka beberapa bulan mereka setelah harga saham Ecoworld telah jatuh dari RM1.70 ke sekitar 40 sen pada masa kini.

Merujuk kepada pengumuman Eco World di Bursa Malaysia, saya percaya pemilik saham terbesar Eco World mengalami tekanan hebat kerana mereka telah meminjam wang dari bank dengan menggunakan saham Eco World mereka sebagai cagaran.

Alasan diberi oleh Khazanah kenapa UEM-Sunrise perlu digabungkan dengan Eco World pada masa kini ialah branding Eco World lebih baik dan pengurusan Eco World lebih cekap berbanding UEM Sunrise.

Tapi saya tengok branding Sunrise yang merupakan pemaju utama Mont Kiara di Kuala Lumpur tak kurang berbanding Eco World.

Malah, apa keperluan menggunakan branding Eco World walhal kita boleh melantik agensi pemasaran tempatan yang layak dan berkebolehan?

Alasan pengurusan lebih baik dan dinamik juga digunakan semasa PNB membeli SP Setia.

Namun selepas dibeli PNB, pegawa-pegawai pengurusan SP Setia dilarikan orang dan akhirnya semua bertapak di Eco World pulak.

Dan apa jadi dengan harga saham SP Setia ketika ini?

Apa jaminan peristiwa ini tidak akan berulang?

Jika UEM Sunrise beli Eco World pada masa kini, UEM akan mengambil alih bebanan hutang berbilion-bilion Eco World dan juga tanah-tanah yang dibeli dengan harga tinggi.

Pada pendapat saya, yang akhirnya rugi ialah UEM  serta Khazanah Nasional dan wang rakyat.

Khazanah juga berkata bahawa setelah penggabungan ini, pemilikan saham khazanah dalam UEM Sunrise cuma jatuh dari 66% ke 48% dan Khazanah masih menjadi pemegang saham terbesar syarikat yang telah digabung manakala pemegang saham Eco World cuma ada sekitar 25%.

Namun ini belum masuk lagi pemberian Warrant (iaitu hak untuk membeli saham baru pada harga tetap) kepada pemilik saham Eco World serta program ESOS yang memberi hak kepada pengurusan baru syarikat itu (yang sudah tentu dikuasai pengurusan serta pemilik Eco World) sebanyak 5% daripada jumlah saham syarikat baru - seperti apa yang telah diumumkan minggu lepas.

Silap-silap, pemilik saham Eco World boleh menambahkan beberapa peratus pemilikan saham pada masa hadapan untuk menjadi pemegang saham terbesar syarikat UEM-Sunrise dan menggantikan Khazanah. Akhirnya rakyat yang rugi.

Sebab itu, saya tidak boleh sokong penggabungan ini pada ketika ini.

Saya juga berpendapat bahawa perletakan jawatan CEO UEM-Sunrise yang dlantik pada tahun 2014 serta seorang lagi pengarah beberapa hari selepas penggabungan ini diumumkan juga merupakan satu tanda protes bahawa penggabungan ini tidak menguntungkan Khazanah dan pemegang saham kedua terbesar iaitu Tabung Haji. 

Jika pengurusan Eco World begitu hebat sehingga UEM-Sunrise terdesak untuk bergabung dengan mereka pada masa kini, kenapa pula Khazanah tidak berani menetapkan jaminan keuntungan (profit guarantee) ke atas pemilik saham Eco World sebagai satu syarat utama penggabungan?
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post