NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dap, Umno mungkin bekerjasama sokong Anwar, Najib tidak mahu masuk dalam senarai kabinet baharu



PETALING JAYA: Ketegangan berlaku dalam Umno antara ahli Parlimen yang menyokong pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dan mereka yang tak mahu sokong.

Tiga ahli Parlimen Umno memberitahu FMT ahli Parlimen parti itu kini terbahagi kepada 3 kumpulan: mereka yang menyokong Anwar, yang menentang, dan mereka di atas pagar yang belum membuat keputusan.

Terdahulu, Anwar mendakwa mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru.

Khamis lalu, beliau mengumumkan akan menghadap Agong pada Selasa.

Salah seorang ahli Parlimen yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT, beberapa pemimpin parti secara tidak langsung menunjukkan sokongan kepada Anwar secara umum, menyebabkan ketidakselesaan kepada mereka yang tidak mahu menjadi sebahagian daripada persefahaman baru antara “pemimpin Umno dan Anwar”.


Katanya, ada beberapa pemimpin Umno yang lebih berhati-hati dan sedang menunggu Anwar menghadap Agong sebelum menunjukkan sokongan mereka.


Beliau berkata, mereka yang berhati-hati lebih bijak kerana tidak akan terpengaruh secara negatif sekiranya Anwar gagal membuktikan kepada Agong bahawa beliau mempunyai majoriti.


“Mereka ambil langkah selamat. Ini kerana sekiranya Anwar gagal dalam usaha untuk ambil alih kerajaan, banyak kecaman dijangka datang dari ahli parlimen Umno, terutama mereka yang tak setuju dengan langkah itu. ”


Katanya, ahli Parlimen yang tidak menyokong Anwar merasakan mereka yang berbuat demikian mementingkan diri sendiri.


Tambahnya, beberapa pemimpin Umno menyokong Anwar selepas “merasakan mereka ditipu oleh perdana menteri sekarang”.


“Mereka yang sehabis baik untuk bantu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri pada Februari dengan harapan akan dapat pertolongan. Tetapi perkara itu tak menjadi. Pemimpin Umno tak tahu ke mana arah perdana menteri sekarang,” katanya.


Sementera itu, seorang ahli Parlimen Umno yang lain berkata mereka akan ikut ketua parti untuk kekalkan kerusi Parlimen masing-masing pada PRU15. “Saya hanya akan umum pendirian saya selepas Anwar jumpa Agong.”

Katanya, 129 ahli Parlimen menyokong Anwar, sambil sokongan itu bukan berdasarkan parti politik tetapi berdasarkan ahli Parlimen secara individu, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Satu barisan Kabinet baru juga sedang dirangka, kata seorang lagi ahli Parlimen, sambil menambah banyak merasakan rancangan Anwar untuk menukar kerajaan boleh jadi kenyataan tetapi bergantung pada DAP.

Adakah DAP akan tolak Anwar?

Beliau berkata, DAP menjadi sekutu rapat Anwar selama bertahun-tahun tetapi parti itu dilihat enggan bergabung dengan gabungan baharu itu kerana takut hilang sokongan pengundi Cina.

Beliau juga berkata, pada awalnya tiada isu apabila mereka kali pertama diberitahu tentang kemungkinan sebuah gabungan baharu antara pelbagai ahli Parlimen dari pelbagai latar belakang.

“Tetapi sekarang, kita diberitahu DAP sedang melihat pelbagai kemungkinan termasuk menyokong Anwar namun tak sertai Kabinet.

“Ini akan memastikan mereka kembali berkuasa tanpa perlu bekerjasama dengan Umno secara langsung,” katanya, sambil menambah perbincangan masih berlangsung antara PKR dan DAP.

Katanya, difahamkan bekas perdana menteri Najib Razak meminta tidak dimasukkan dalam senarai Kabinet baharu.

Beliau menambah banyak perkara yang masih tergantung termasuk senarai penuh Kabinet kerana semua orang menunggu keputusan Agong. – FMT

Sumber: https://cin-ca.blogspot.com/2020/10/dap-umno-mungkin-bekerjasama-sokong.html#ixzz6abpSEAET

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo