Isu bekalan air kurang di Pulau Pinang tuntut perhatian serius

 


120842215_2694049727531946_4592335526615


Kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP perlu mengkaji secara menyeluruh terhadap masalah kekurangan air yang luar biasa di negeri ini dengan tidak bersandarkan alasan kepada faktor perubahan iklim semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, perhatian serius mesti diberi berikutan takungan air di Empangan Teluk Bahang dan Air Itam serta lokasi tadahan lain juga berada di tahap minimum dan kritikal.

Peringat beliau, sekiranya isu tersebut tidak ditangani sewajarnya menerusi Perbadanan Air Pulau Pinang (PBA), masalah itu akan memburukkan survival bekalan air di negeri ini bagi penggunaan asas kehidupan warga dan ekonomi.

Menurutnya, kejadian banjir kilat yang berlaku di merata-rata tempat dalam Pulau Pinang menunjukkan bahawa hujan turun dengan lebatnya, tetapi air mengalir dari bukit serta sungai dengan banyaknya sehingga berlaku limpahan.

“Hujan turun dengan lebat, tetapi paras air (di empangan dan kawasan takungan) tidak naik tinggi. Inilah masalah sebenar yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri dan PBA dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan air di negeri ini.

120352769_2694049840865268_7344078000801


“Begitu juga aktiviti-aktiviti penggondolan tanah, penebangan hutan yang tidak terkawal dalam skala besar di kawasan tersebut merupakan punca berlakunya masalah ini.

“Projek pembangunan kawasan cerun seperti penurapan simen boleh menghalang serapan air oleh tanah dan tumbuh-tumbuhan. Air hujan turun tetapi tidak disimpan oleh tanah dan tumbuh-tumbuhan.

“Sebahagian besar kuantiti dan isipadu air itu terus mengalir ke longkang, parit dan sungai,” ujar beliau mengulas margin bekalan air di negeri ini yang berada di bawah paras minimum 10 peratus ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

Ustaz Fauzi memberi contoh penarahan hutan di Bukit Bendera menjadi bukti kepada sebab kurangnya air di kawasan Air Terjun Titi Kerawang yang menjadi sumber air beberapa kampung di Balik Pulau, selain kes kecurian air oleh pihak kebun.


120734391_2694049807531938_9871993641117


Bekalan masa depan dan isu pencemaran

Menurut beliau juga, permintaan bekalan air bersih semakin meningkat ekoran pembangunan yang kian bertambah dan itu belum dikira jumlah permintaan air untuk ‘projek impian’ DAP iaitu Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR).

Perhatian serius turut dikemukakan beliau terhadap permasalahan pencemaran sungai yang membekalkan sumber air untuk pertanian, ternakan dan seumpamanya sebagaimana nasib terjadi kepada Sungai Kreh di Tasek Gelugor.

“Ia berpunca dari pembuangan najis babi di mana dari Sungai Kreh mengalir hingga ke Sungai Prai dan ini tentunya merugikan sebahagian besar rakyat,” kesali beliau.

Ustaz Fauzi berharap dengan penyerahan projek Pembesaran Empangan Mengkuang (MDEP) menerusi Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Kerajaan Pulau Pinang akan mengatasi masalah air di negeri ini.

MDEP adalah projek Kerajaan Persekutuan dibiayai dengan geran Persekutuan yang diperolehi hasil persetujuan Pulau Pinang berhijrah ke Inisiatif Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Nasional (NWSRI) 2011.

120714460_2694049760865276_1958852309977


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Jaseni Maidinsa, negeri ini memerlukan MDEP yang berfungsi sepenuhnya secepat mungkin kerana menghadapi risiko ketara air mentah kesan perubahan iklim.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri juga perlu mengambil segala langkah termasuk kempen penuaian dan penyimpanan air hujan untuk kegunaan luaran sebagai tindakan segera bersifat jangka panjang. – HARAKAHDAILY 

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post