NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Batu Sapi: Perlukah ditandingi?


Oleh Ahmad Abd Hamid

SURUHANJAYA Pilihanraya Malaysia (SPR) telah menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Batu Sapi, Sabah diadakan pada 5 Disember.

Penamaan calon ditetapkan pada 30 November. Pengundian awal pula ditetapkan pada 1 Disember.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Datuk Liew Vui Keong atau VK Liew daripada parti Warisan pada 2 Oktober.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, mendiang memenangi kerusi Batu Sapi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tsen Thau Lin dengan majoriti 4,619 undi. Mendiang memperoleh 12,976
undi berbanding Thean 8,357 undi.

Tarikh 5 Disember adalah tarikh akhir PRK mesti diadakan, memenuhi keperluan pengisisian dalam tempuh 60 hari setelah perisytiharan kekosongan kerusi parlimen atau dewan negeri.

Perisytiharan kekosongan kerusi Batu Sapi telah dimaklumkan secara rasmi oleh Speaker Parlimen kepada SPR pada 6 Oktober selaras dengan Artikel 54 Perlembagaan Persekutuan.

Biasanya SPR menetapkan tarikh PRK lebih awal daripada tarikh akhir. Mungkin kali ini SPR memberi pertimbangan teliti memandangkan bahana Covid-19 yang melanda sekarang, terutama di Sabah, antara negeri yang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi.

Justeru pemilihan tarikh mungkin dibuat dengan harapan ketika itu wabak jangkitan di Sabah sudah bertambah baik.

Dalam apa keadaan pun, PRK ini tetap mesti diadakan, kecuali ada perisytiharan darurat di kawasan berkenaan.

Justeru kebimbangan yang wujud sekarang ialah risiko yang terpaksa dihadapi dalam PRK itu di tengah-tengah wabak Covid-19 yang sehingga ini terus mencatatkan angka jangkitan tinggi setiap hari, termasuk di Sabah.

Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah baru-baru ini telah memberikan kesan menakutkan. Kes Covid-19 meningkat naik bukan sahaja di Sabah tetapi menular ke negeri-negeri lain akibat keluar masuk yang berlaku di sepanjang tempuh kempen pilihan raya dan hari mengundi yang kesemuanya melibatkan perhimpunan ramai.

Apakah kaedah terbaik memastikan gejala ini tidak berulang pada PRK Batu Sapi? Cara yang mudah dan berkesan ialah tidak ada pertandingan di Batu Sapi. Biarkan parti penyandang kerusi berkenaan iaitu Warisan, menang tanpa bertanding.

Dengan itu tidak perlu kempen dan membuang undi. Perhimpunan ramai dapat dielakkan dan risiko jangkitan dapat diminimumkan.

Sehingga ini BN dan Pakatan Harapan (PH) telah pun mengumumkan tidak akan bertanding di Batu Sapi. Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi alasan mengutamakan keselamatan rakyat dalam kemelut Covid-19.

Pendirian ini memang baik. Tetapi jika BN sahaja tidak bertanding tidak bermakna tidak ada pertandingan. Mungkin ada parti lain atau calon Bebas mahu bertanding dan mereka tidak boleh dihalang. Matlamat hanya dapat dicapai jika semua pihak menurut jejak langkah BN.

Dalam pada itu SPR juga mengambil langkah persediaan seandainya berlaku pertandingan di Batu Sapi. Misalnya meminta pihak terlibat mengadakan kempen secara online serta mengelakkan pertemuan beramai-ramai.

Ini difahami kerana apabila sudah berkumpul ramai, penjarakan fizikal kerap diabaikan.

Namun jika pun kaedah ini dipatuhi, proses mengundi tetap perlu dijalankan. Pastinya akan berlaku juga perhimpunan ramai di pusat-pusat mengundi. Risiko penularan Covid-19 tetap ada.

Atau satu lagi kemungkinan, gejala Covid-19 yang sedang mengganas sekarang, dan pengalaman penularan semasa PRN Sabah, akan menyebabkan ramai tidak mahu keluar mengundi.

Mereka akan berdepan dengan pilihan antara menunaikan tanggung jawab atau tinggal di rumah demi keselamatan diri. Rasanya lebih ramai memilih tinggal di rumah.

Bola sekarang berada di kaki para pemimpin politik. Mereka yang sebenarnya menentukan perlukah ada pertandingan di Batu Sapi atau sebaliknya. Adakah mereka memikirkan keselamatan serta mengutamakan rakyat? Rakyat sedang memerhatikan.

–BebasNews


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo