Sebahagian Penduduk Lembah Klang Terjejas Isu Air Tuntut Ganti Rugi Kepada Air Selangor

KUALA LUMPUR – Sebahagian daripada penduduk dan syarikat yang beroperasi di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini membuat tuntutan ganti rugi ke atas Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ia berikutan terputusnya bekalan air di premis mereka sejak 6 September sehingga hari ini .

Tuntutan yang dibuat melalui syarikat guaman Tetuan A.B Sidek & Co itu diserahkan sendiri oleh Datuk Abu Backer Sidek yang juga Pengerusi Pertubuhan Pejuang Perlembagaan dan Rukun Negara Malaysia.

Di dalam notis tuntutan yang diserahkan kepada wakil Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Shahniza Anom pada pukul 11.50 pagi di pejabat Pengurusan Air Selangor, di sini pagi tadi, antaranya menuntut kerugian sebanyak RM1,000 untuk dikreditkan ke dalam akaun setiap pemilik akaun yang terkesan.

Abu Backer yang juga peguam berkata, ramai tampil datang kepadanya menyuarakan rasa tidak puas hati dan meminta supaya tuntutan ganti rugi dibuat memandangkan mereka mengalami kesusahan.

Malah, ada antaranya yang terpaksa mengeluarkan belanja kerana terpaksa menginap di hotel atau keluar dari Selangor dan Kuala Lumpur hanya semata-mata bagi mendapatkan air bersih.

“Kerana itu pertubuhan kami telah melantik peguam dan kami telahpun menyerahkan notis tuntutan berkenaan secara serahan tangan kepada wakil Pengurusan Air Selangor di ibu pejabat mereka di Bangsar, tengahari tadi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Abu Backer lagi, tuntutan juga dibuat berikutan kegagalan pengurusan Air Selangor supaya memberi notis atau pemakluman awal kepada pemilik akaun.

Ujarnya, pemakluman itu penting agar mereka yang terlibat membuat simpanan bekalan air untuk kegunaan harian semasa tempoh penutupan berlaku.

“Notis sudahpun diserahkan dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd perlu membayar ganti rugi berkenaan dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh notis ini,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya pengurusan Air Selangor gagal memenuhi tuntutan berkenaan pihaknya akan meneruskan tindakan undang-undang yang melibatkan 1.2 juta pengguna yang kosnya mencecah RM1.2 billion. – MalaysiaGazette

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post