NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rasuah Pengundi : Mengapa Perlu Wujud Dwi-Standard ?


Bersih 2.0 dalam satu kenyataan media bertajuk “Adakah Muhyiddin Sedang Merasuah Pengundi Di Sabah?” hari ini, 18 September 2020, mendakwa: “Muhyiddin dengan jelas menggunakan kedudukannya dan sumber kerajaan untuk mempengaruhi pengundi di Sabah untuk mengundi calon yang selari dengan Perikatan Nasional.”

Bersih 2.0 seterusnya “menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPRM) untuk menyiasat tindakan rasuah oleh Perdana Menteri dan terhadap semua yang menggunakan kedudukan mereka serta sumber kerajaan bagi memancing undi.”

Peliknya, sewaktu PH memerintah dulu, Bersih 2.0 dalam satu kenyataan media bertajuk “Memancing Undi Nelayan Menggunakan Dana Kerajaan Tidak Melanggar Undang-Undang Namun Tetap Salah” pada 7 November 2019 menyebut: “Percubaan untuk memancing undi daripada nelayan tidak bertentangan dengan undang-undang sedia ada tetapi ianya jelas sekali tidak beretika untuk parti politik menggunakan duit pembayar cukai bagi memenangi pilihan raya.”

Bersih 2.0 juga menyebut bahawa ia “telah merekodkan beberapa laporan menteri kerajaan persekutuan mengumumkan peruntukan wang tunai semasa lawatan mereka ke Tanjung Piai, sebelum dan semasa tempoh berkempen” tetapi turut menegaskan bahawa “kami tidak mengatakan bahawa menteri-menteri ini telah melanggar undang-undang pilihan raya kerana undang-undang penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen masih belum digubal”.

Mengapa perlu wujud dwi-standard begini: Waktu PH memerintah perbuatan begini tidak dikatakan melanggar undang-undang tetapi waktu PN memerintah perbuatan begini dikatakan melanggar undang-undang pula?

Rujukan: 
1. http://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-018-september-2020-adakah-muhyiddin-sedang-merasuah-pengundi-di-sabah/
2. http://www.bersih.org/kenyataan-media-bersih-2-0-7-november-2019-memancing-undi-nelayan-menggunakan-dana-kerajaan-tidak-melanggar-undang-undang-namun-tetap-salah/

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff,
Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS),
Universiti Utara Malaysia (UUM).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo