NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Proton X50 Dijangka Diperkenalkan Minggu Hadapan



KUALA LUMPUR: Selepas lebih setahun spekulasi mengenai Proton X50 berlegar-legar dalam industri automotif tempatan, akhirnya model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak paling dinanti-nanti itu dijangka membuat kemunculan pertamanya pertengahan minggu hadapan.

Menurut sumber, penampilan sulung Proton X50 tidak dibuat di khalayak ramai atau menerusi pelancaran rasmi seperti kelazimannya, sebaliknya ia diperkenalkan dalam acara tertutup sekali gus dijangka bakal menamatkan spekulasi mengenai 'kelibatnya' yang dikatakan bakal menjadi 'game changer' pasaran SUV negara.

Jika ia benar, kemunculan awal itu akan menjadi titik tolak pelancaran ke pasaran tempatan di mana ia tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk 'ditatap' secara rasminya oleh rakyat Malaysia.

Baru-baru ini, tular gambar di media sosial mengenai harga Proton X50 keluaran Proton Holdings Bh (PROTON) yang akan ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran bermula daripada RM75,800.

Dalam perkongsian sama, model dengan spesifikasi tertinggi pula ditawarkan pada harga bermula sekitar RM103,800.

Bagi Penganalisis Automotif, Hezeri Samsuri, media sememang menjangkakan harga Proton X50 adalah bawah RM80,000 untuk memberi pilihan kepada pengguna antara SUV kompak atau Proton X70 yang ditawarkan pada harga bermula RM94,800.

"Saya berpendapat Proton X50 akan menjadi antara model popular PROTON berdasarkan reka bentuknya yang menarik dan disokong harga mampu milik. Cuma PROTON perlu ingat, bila produk makin cantik, makin rumit, pelanggan akan menjangkakan perkhidmatan selepas jualan juga lebih baik," katanya.

Beberapa spekulasi juga wujud mengenai varian yang bakal ditawarkan PROTON untuk model X50 ini. Antara yang menarik perhatian adalah, ia dijangka ditawarkan dengan tiga varian terdiri dari Standard, Executive dan Premium/Sport.

Proton X50 juga dijangka dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo yang digandingkan bersama transmisi 7-kelajuan DCT.

Jika benar Proton X50 adalah diadaptasikan daripada model Geely Binyue, ia dijangka dilengkapi dengan ciri pemanduan autonomi tahap kedua lengkap dengan ciri Kawalan Pelayaran Pintar (ICC), Fungsi Indentifikasi Had Laju (SLIF), Fungsi Pengesan Titik Buta (BSD), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Amaran Keluar Laluan (LDW) dan Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesan pejalan kaki.

Dari segi reka bentuk, model Geely Binyue sememangnya sporty dan jika Proton X50 adalah jelmaan sebenar model SUV dari China itu, pasti penampilannya akan menambat hari pelanggan terutama golongan muda. - BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo