Perlumbaan Penentuan Kerusi Ketua Menteri Sabah Bermula.


Pilihan raya Sabah telah berakhir tetapi perlumbaan untuk membentuk kerajaan negeri baru sahaja bermula.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), BN, dan Parti Bersatu Sabah (PBS) - memperoleh majoriti mudah dalam pilihan  raya semalam setelah memperoleh 38 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.

Mengikut amalan, calon ketua menteri akan segera dilantik dan kemudian mengadakan sidang dewan undangan negeri khas untuk melantik hingga enam anggota dewan undangan negeri (Adun).

Sistem yang unik di Sabah ini, membolehkan Adun yang dilantik mempunyai hak yang sama dengan wakil rakyat yang telah diundi.

Undian mereka juga penting dalam mengekalkan atau mengubah kedudukan ketua menteri.

Inilah yang cuba dilakukan oleh bekas ketua menteri, Musa Aman selepas pilihan raya umum pada 9 Mei 2018.

Pada masa itu, Musa berada dalam kebuntuan dengan pakatan Warisan Plus kerana kedua-dua gabungan masing-masing memenangi 29 kerusi.

Sebanyak 60 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya tersebut.

Dua kerusi lain dimenangi oleh Star, yang mana Musa dengan pantas membuat perjanjian untuk mendapat sokongan mereka.

Dia kemudian dilantik sebagai ketua menteri pada 10 Mei, sehari selepas pilihan raya umum.

Bagaimanapun, sebelum Musa mengadakan sidang dewan undangan negeri khas untuk melantik Adun yang mesra kerajaan negeri, Presiden Warisan Shafie Apdal merancang serangkaian pembelotan menyebabkan sokongan kepada Musa berubah.

Shafie kemudian dilantik sebagai ketua menteri pada 12 Mei, dua hari selepas Musa dilantik.

Empat hari selepas itu, Shafie melantik dua Adun dilantik dan dua lagi pada bulan berikutnya.

Kini GRS, yang memiliki majoriti tipis, juga ingin melakukan langkah secara tergesa-gesa kerana Shafie mungkin merancang serangkaian pembelotan lain seperti dilakukannya pada tahun 2018.

Gabungan yang rumit

Bagaimanapun, tidak seperti pada tahun 2018 di mana Musa adalah calon ketua menteri BN yang tidak dipertikaikan, GRS merupakan gabungan yang lebih rumit.

Daripada 38 kerusi yang dimenangi GRS, PN memperolehi 17 kerusi, BN mendapat 14 kerusi sementara PBS memperoleh tujuh kerusi.

PN, yang memenangi kerusi terbanyak dalam GRS, menganggap ia berhak menentukan mengenai siapa yang harus menjadi ketua menteri.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sebelum ini mencadangkan calon bagi Dun Sulaman yang baru memenangi kerusi itu, Mohd Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri daripada PN.

Bagaimanapun, 17 kerusi PN disumbangkan oleh dua parti, iaitu Bersatu yang mempunyai 11 kerusi dan Star yang mempunyai enam kerusi.

Sebaliknya, Umno berpendapat walaupun BN memenangi kerusi yang sedikit berbanding PN, tetapi Umno memenangi kerusi terbanyak dalam GRS. 

Kesemua 14 kerusi BN disumbangkan oleh Umno. Sekutu BN, PBRS dan MCA gagal memenangi sebarang kerusi.

Bersatu menduduki tempat kedua dengan 11 kerusi sementara PBS berada di tempat  ketiga dengan tujuh kerusi dan STAR di tempat keempat dengan enam kerusi.

"Ketua menteri dari GRS mesti dipilih dari Umno," kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kepada Malaysiakini. 

Bagaimanapun, undang-undang tidak menetapkan begitu.

Sebaliknya, paling penting ialah siapa yang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 37 daripada 73 Adun yang baru dipilih, yang merupakan angka minimum untuk majoriti mudah.

Ini bererti tiada parti dalam GRS yang boleh melantik calon mereka sendiri sebagai ketua menteri kerana setiap parti diperlukan - melainkan jika salah satu daripada mereka memutuskan untuk membuat perjanjian dengan pihak lawan.

Warisan tak mengalah

Bagi pakatan Warisan Plus, calon ketua menteri adalah Shafie Apdal.

Bagaimanapun, gabungan yang terdiri daripada Warisan, Pakatan Harapan (DAP, PKR, Amanah) dan Upko hanya memenangi 32 kerusi, iaitu kurang lima kerusi untuk mencapai majoriti mudah.

Warisan memenangi 23 kerusi, DAP (enam), PKR (dua) dan Upko  (1).

Sekiranya ada Adun daripada parti yang menang melompat kepada Warisan Plus, ini boleh menyebabkan GRS tumbang sebelum kerajaan dapat dibentuk.

Shafie (gambar bawah), ketika bercakap kepada wartawan membayangkan dia tidak akan mengalah dengan mudah.

Dengan kemenangan 23 kerusi, Shafie berpendapat Warisan adalah parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya Sabah walaupun tewas sebagai gabungan.

Dia juga menyatakan disebabkan DAP bertanding di bawah logo Warisan, ini bermaksud "kapal layar" memperoleh 29 kerusi.

"Kita lihat keadaan dia bagaimana perjalanan dan proses yang ada sama ada dari segi kedudukan senario politik yang kita dapat melihat, tetapi bahawa single biggest party ialah Warisan," katanya.

Senario lebih sukar untuk Warisan Plus

Bagaimanapun, tidak seperti pada tahun 2018, keadaan hari ini kurang memihak kepada Shafie.

Pertama, Warisan Plus dianggap sebagai pakatan pembangkang di peringkat persekutuan kerana Putrajaya diterajui oleh PN. Semua parti GRS yang memenangi kerusi dalam pilihan raya Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan pusat.

Sebaliknya, Warisan Plus merupakan sebahagian daripada kerajaan pusat yang diterajui Pakatan Harapan pada tahun 2018.

Tambahan pula majoriti sebanyak lima kerusi pada PRN ini lebih besar berbanding majoriti dua kerusi pada PRU 2018.

Pilihan yang ada adalah dengan membawa masuk Adun GRS ke pakatan Warisan Plus  tetapi ada juga pilihan lain, termasuk kemungkinan Warisan menyingkirkan sekutunya yang ada untuk membentuk kerajaan dengan parti-parti tertentu dalam GRS.

Semakin lama GRS memikirkan tentang siapakah calon ketua menteri mereka, semakin lama mereka memberi masa kepada Shafie untuk membuat perjanjian dengan wakil-wakil rakyat mereka.

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post