NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBS Nafi Sokong Warisan Plus Tubuh Kerajaan Baharu


Kota Kinabalu: Parti Bersatu Sabah (PBS) tegas menafikan parti itu akan bergabung bersama Warisan Plus untuk menubuhkan kerajaan baharu Sabah.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai berkata, dakwaan itu tersebar luas di media sosial susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam.

"PBS, sebagai rakan setara dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal teguh dengan sekutunya, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Joniston juga memberitahu Bernama bahawa PBS turut menafikan parti itu mula membuat tuntutan dalam kabinet kerajaan baharu yang akan dibentuk kerana setakat hari ini perkara itu tidak pernah dibincangkan.

Joniston mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kiulu selepas mengalahkan presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan empat lagi calon dalam pertandingan enam penjuru.

PBS mengadakan mesyuarat post-mortem keputusan pilihan raya di kediaman presiden parti pagi tadi.

PBS menyumbang tujuh daripada 38 kerusi dimenangi GRS yang memberikan gabungan itu majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Warisan Plus menerusi gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, PKR, UPKO dan Amanah, gagal mempertahankan tampuk pemerintahan kerajaan negeri selepas menang 32 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN ke-16 kali ini. - Metro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo