NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lebih 300 Kilang HARAM di Bawah Pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang Sahaja

RAWANG: Sebanyak 308 kilang daripada 6,000 yang berada dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) beroperasi secara haram.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang, Mohd Zin Masoad, berkata semua 308 pengusaha kilang akan dipanggil Jumaat ini bagi menjalankan aktiviti pemutihan.

"Setakat ini 50 daripada 308 pengusaha kilang itu sudah membuat permohonan lesen perniagaan namun 258 pengusaha belum berbuat demikian.

"Pengusaha kilang terbabit akan dipanggil bagi tujuan mengarahkan mereka memohon kebenaran untuk menjalankan perniagaan.

"Kita akan membuat pemutihan dan sekiranya mereka berdegil tindakan boleh diambil seperti menyita dan merobohkan premis mereka," katanya selepas menampal notis bina bangunan tanpa kebenaran di hadapan Kilang Yip Chee Seng, di sini, hari ini selepas disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran bau di Sungai Gong hingga menyebabkan bekalan air di Selangor terputus sejak minggu lalu.

Beliau berkata, kilang yang beroperasi secara sah membolehkan aktiviti perniagaan berjalan lebih teratur dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

"Selain lesen dan kebenaran MPS, pengusaha kilang juga perlu mendapat kelulusan untuk beroperasi daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia dan agensi kerajaan yang berkaitan.

"Apabila mereka mendaftar dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan maka mereka akan mendapat lebih panduan dan syarat-syarat yang ditetapkan mengenai sebarang aktiviti perniagaan yang dijalankan mereka," katanya.

Katanya, MPS juga sudah mempercepatkan sebarang urusan permohonan lesen perniagaan dan tiada sebab untuk mana-mana pengusaha kilang tidak memohon lesen perniagaan.

"Pihak MPS akan terus memantau dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada terhadap pihak yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran untuk menjalankan perniagaan," katanya. - BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo