Kerajaan Tan Sri Muhyiddin telah jatuh - Anwar


KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru dalam masa terdekat.
Dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada Rabu, beliau menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.

“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna pada saat ini kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya disambut tepukan, sorakan dan laungan ‘reformasi’ daripada penyokongnya.
Tambah beliau, maklumat dan langkah selanjutnya akan dimaklumkan selepas beliau bertemu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam masa terdekat.

“Pentadbiran ini pastinya mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini.

“Kami tetap menjunjung prinsip-prinsip perlembagaan yang mengiktiraf kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputera di samping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain,” ujarnya.

Tegas Anwar, beliau telah mendapat perkenan menghadap Al-Sultan Abdullah pada Selasa jam 11 pagi, namun terpaksa ditangguh susulan baginda sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya memohon seluruh rakyat supaya bersabar dan mendoakan kesembuhan segera Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

“Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara, menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.
“Insya-Allah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk seluruh rakyatnya,” katanya.

Sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/kerajaan-tan-sri-muhyiddin-telah-jatuh-anwar-260566


Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post