NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa UMNO Tiada Dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PH Terjawab

ISU KETIDAKHADIRAN WAKIL UMNO DI DALAM KONVENSYEN “SETENGAH TAHUN PENTADBIRAN PN: PENCAPAIAN, HARAPAN DAN CABARAN”: SATU PENJELASAN

Disebabkan wujudnya terlalu banyak pertanyaan dan spekulasi mengenai ketidakhadiran wakil UMNO di dalam Konvensyen “Setengah Tahun Pentadbiran PN: Pencapaian, Harapan Dan Cabaran” di PAUM pada 1 September 2020 maka sukalah diterangkan perkara-perkara berikut:

(1) Tidak timbul isu bahawa pihak penganjur menggunakan nama dan gambar Presiden UMNO dan Ketua Pemuda UMNO di dalam posternya (atau buku acaranya) tanpa kebenaran. Ini kerana gambar-gambar ini adalah dibekalkan oleh pihak Presiden UMNO dan pihak Ketua Pemuda UMNO sendiri untuk dimasukkan ke dalamnya pada 21 Ogos 2020 sebagai menyusuli persetujuan awal mereka pada 5 Ogos 2020 (bagi pihak Ketua Pemuda UMNO) dan pada 7 Ogos 2020 (bagi pihak Presiden UMNO) untuk memberikan ucapan dan ucaptama di dalam konvensyen ini bersama-sama rakan sejawatan mereka di dalam PAS dan BERSATU.

(2) Hanya setelah posternya (dan buku acaranya) siap dicetak, barulah pada pagi 27 Ogos 2020 pihak Presiden UMNO menghantar pemakluman bahawa beliau tidak dapat hadir kerana pada malam sebelumnya UMNO Sabah memutuskan beliau perlu berada di Sabah pada 31 Ogos 2020 dan pada 1 September 2020 “berkenaan PRN Sabah” diikuti pemakluman pihak Ketua Pemuda UMNO pada hari sama bahawa beliau juga tidak dapat hadir kerana telah ditugaskan untuk berada di Sabah pada 31 Ogos 2020 dan pada 1 September 2020 “for an important mission in facing the PRN”.

(3) Pihak penganjur diberi kebenaran untuk cuba mendapatkan Timbalan Presiden UMNO atau Naib Presiden UMNO bagi menggantikan tempat Presiden UMNO, malangnya Timbalan Presiden UMNO dan Naib Presiden UMNO juga mempunyai komitmen lain pada tarikh itu, begitu juga dengan Setiausaha Agung BN.

(4) Terdapat pertanyaan daripada pihak UMNO sama ada pihak penganjur boleh menerima jika ia dibekalkan dengan video rakaman ucapan yang akan dipasang sebagai pengganti diri di mana pihak penganjur menjawab boleh menerima, tetapi sehingga ke saat akhir konvensyen video rakaman ini tidak kunjung tiba.
Pada hemat pihak penganjur, imej pihak penganjur tidak pun tercalar dengan ketidakhadiran wakil UMNO di dalam konvensyen ini tetapi sebaliknya imej UMNO-lah yang sedikit tercalar kerananya disebabkan faktor-faktor berikut:

(1) Wakil UMNO telah memberikan komitmen sejak awal lagi untuk menghadiri konvensyen ini, jadi sepatutnya mereka menunaikannya dengan menyesuaikan jadual mereka supaya mereka boleh hadir atau mengusahakan pengganti mereka.

(2) Sekalipun mereka atau pengganti mereka tidak boleh hadir secara fizikal, dengan teknologi maklumat terkini, terdapat pelbagai kaedah yang membolehkan mereka hadir melalui alam maya, termasuklah dengan membekalkan video rakaman ucapan.

(3) Jika sekalipun mereka mempunyai apa-apa isu dengan mana-mana pihak yang terlibat di dalam konvensyen ini, mereka sepatutnya mempunyai keberanian untuk menyuarakannya secara berhikmah dan terbuka di hadapan orang ramai.

(4) Ketidakhadiran mereka menyebabkan mereka terlepas peluang untuk menyampaikan pandangan atau cadangan secara berdepan mahupun untuk menjawab apa-apa teguran yang diberi kepada pihak mereka (seperti yang dibuat oleh pihak PAS).

Konvensyen ini bukanlah bertujuan untuk membodek Kerajaan PN atau memuja-muji mana-mana pemimpin tertinggi negara semata-mata kerana selain daripada pujian terdapat juga pandangan kritikal yang disuarakan oleh para pembentang dan peserta yang disertai dengan idea-idea bermutu tinggi daripada mereka. Begitu juga dengan sifatnya yang agak inklusif melalui penyertaan tokoh-tokoh bukan Melayu seperti Prof Dr Jayum Anak Jawan, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong, Prof Madya Dr R. Sivaperegasam P. Rajanthiran, Dr Hoo Kee Ping dan Dr Arnold Puyok.

Majoriti daripada peserta konvensyen ini adalah terdiri daripada pemegang ijazah kedoktoran (PhD), termasuklah 7 yang bergelar Profesor Emeritus, 16 yang bergelar Profesor, 26 yang bergelar Profesor Madya dan 53 yang bergelar Dr. Begitu juga dengan para pembentang kertas kerjanya yang terdiri daripada 3 pemegang jawatan Profesor Emeritus, 8 pemegang jawatan Profesor, 4 pemegang jawatan Profesor Madya dan 4 pemegang jawatan Dr. 

Dengan tidak menghadirkan diri di dalamnya, UMNO telah melepaskan satu peluang keemasan untuk mendekatkan diri, bertukar-tukar pandangan dan mendapat input-input yang bermanfaat daripada golongan intelek ini untuk kebaikan semua pihak.

Walau apa pun, pihak penganjur sendiri tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemimpin UMNO dan akan bersedia menjemput pemimpin UMNO lagi di lain kali.

Yang Benar:

Pengarah Konvensyen “Setengah Tahun Pentadbiran PN: Pencapaian, Harapan Dan Cabaran”,

5 September 2020.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo