Enam bekas Adun cuba jatuhkan kerajaan Warisan jadi calon bebas



Enam bekas wakil rakyat Sabah yang terbabit dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Warisan pada Julai lalu kini berusaha mengekalkan kerusi dimenangi mereka dengan bertanding sebagai calon bebas.

Mereka adalah Abdul Rahman Kongkawang (Labuk), Musbah Jamli (Tempasuk), Saddi AbduL Rahman (Sukau), Lasiah Baranting @ Anita (Tandek), Masiung Banah (Kuamut) dan Kenny Chua Teck Ho (Inanam).

Abdul Rahman, Musbah dan Saddi memenangi kerusi mereka pada 2018 atas tiket BN-Umno, sementara Lasiah, Masiung dan Chua masing-masing menang atas tiket BN-PBS, BN-Upko dan PKR.

Tidak seperti di Semenanjung Malaysia, sejarah menunjukkan bahawa ada kemungkinan, walaupun jarang berlaku, bagi calon bebas untuk memenangi pilihan raya di Sabah.

Pada Julai lalu, enam Adun ini adalah antara 14 Adun yang menyertai sekumpulan Adun pembangkang yang diketuai oleh Musa Aman dan Jeffrey Kitingan dalam usaha menumbangkan kerajaan negeri yang dipimpin Warisan.

Kumpulan 33 Adun itu mengaku memiliki jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan baru, tetapi rancangan itu gagal kerana ketua menteri ketika itu, Mohd Shafie Apdal berjaya meyakinkan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Enam bekas wakil rakyat berkenaan tidak bernasib baik seperti Jamawi Ja'afar (Kemabong) dan James Ratib (Sugut) yang berpaling tadah setelah menang pilihan raya umum 2018. Kedua-dua mereka menyertai semula Umno dan dibenarkan mempertahankan kerusi mereka.

Dua penyandang lain yang berpaling tadah dari Umno selepas pilihan raya 2018 - Abd Muis Picho (Sebatik) dan Limus Jury (Kuala Penyu) - dcalonkan oleh parti serpihan Umno, iaitu Bersatu dan akan mempertahankan kerusi mereka.

Abidin Madingkir, yang memenangi kerusi Paginatan dengan tiket BN-Upko pada 2018, kini akan mempertahankan kerusinya sebagai calon PN-Star.

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post