NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aku Seorang Muflis

SAYA menulis bingkisan ini ketika hujan lebat pada Subuh Jumaat 31 Julai 2020 yang juga  hari kebesaran umat Islam - Hari Raya AidilAdha atau Hari Raya Korban.

Ini adalah kemuncak hukuman dunia yang saya terima hasil perjuangan saya membela nasib alam dan rakyat marhaen.

Saya baru sahaja diisytiharkan sebagai seorang yang muflis atau bankruptcy kerana gagal melunaskan Pinjaman Dana Special Relief Fund (SRF) Bank Negara Malaysia yang disalurkan menerusi Agro Bank bagi membantu usahawan yang terjejas dek banjir besar pada akhir tahun 2014 hingga awal tahun 2015.

Saya membuat pinjaman itu sebanyak RM250,000 pada tahun 2015 bagi membangunkan semula projek sangkar ternakan ikan Patin saya yang musnah dengan kerugian lebih RM1 juta dalam banjir berkenaan.

Namun belum sempat menuai hasil pertama, tiba-tiba Penolong Pentadbir Tanah Daerah Temerloh ketika itu, Mohd Iqbal Zainal Abidin mengeluarkan notis untuk meroboh dan memusnahkan sangkar ternakan ikan Patin yang menjadi punca rezeki baharu keluarga saya, dengan alasan saya menduduki tanah Kerajaan Negeri Pahang tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) sedangkan sangkar ikan itu terapung dalam Sungai Pahang dan penggunaan kawasan bekas tapak Projek Sangkar Ikan Patin PPRT Kg Lebak itu pula sudah mendapat kebenaran daripada Ketua Kampung.

Saya tahu tindakan zalim terhadap saya itu sebenarnya cuma satu helah kerana matlamatnya mahu memberi laluan kepada operasi pam pasir yang dibantah oleh ratusan penduduk Mukim Lebak kerana dikhuatiri menjejaskan kenteraman, kesejahteraan dan keselamatan umum serta memberi kesan kepada aktiviti ternakan ikan sangkar di kawasan berhampiran selain tapaknya turut membabitkan sebahagian Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebing Tinggi Lebak.

Ternyata mereka berdendam dengan saya kerana saya yang mengetuai bantahan penduduk berkenaan.

Kemudian, apabila saya memaparkan tindakan zalim yang pertama kali berlaku dalam sejarah Negeri Pahang itu (sebelumnya belum pernah Pejabat Tanah di Pahang mengeluarkan notis untuk meroboh dan memusnahkan sangkar ternakan ikan Patin di Sungai Pahang walaupun majoriti pengusahanya tidak mempunyai kebenaran beroperasi daripada PBN), aku disaman pula oleh Penolong Pentadbir Tanah berkenaan.

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, baki pinjaman Dana SRF yang sepatutnya digunakan sebagai modal pusingan untuk meneruskan operasi menternak ikan Patin, terpaksa digunakan untuk membayar caj guaman berjumlah RM75,000 hingga ke peringkat Mahkamah Rayuan.

Saya kalah dan diperintah membayar gantirugi RM50,000 dan kos kepada Mohd Iqbal.

Akibatnya, projek sangkar ternakan ikan Patin saya terbengkalai dan saya tidak mampu membayar ansuran bulanan pinjaman Dana SRF kerana tidak mempunyai sumber pendapatan lainselepas berhenti kerja daripada jawatan Ketua Pengarang Berita TV3 pada 15 Disember 2014 kerana tekanan politik ketika itu.

Sebelum PRU14 saya cuba meminta bantuan daripada seorang pemimpin politik yang juga kenalan lama bagi membantu saya melunaskan hutang berkenaan dan Alhamdulillah beliau telah mengarahkan pegawainya supaya menguruskan pembayaran semua baki pinjaman Dana SRF itu.

Namun malangnya hanya sebahagian daripada baki pinjaman itu dibayar oleh pegawai terbabit tanpa pengetahuan saya dan pemimpin politik itu hinggalah saya diisytiharkan muflis.

Kasihan dengan pemimpin politik yang sangat baik dan mulia hatinya itu tetapi pegawai-pegawai dan pembantunya tidak amanah sehinggakan seorang daripada mereka juga pernah diamanahkan menghantar hadiah sempena perkahwinan anak sulung saya pada tahun 2015, tetapi sehingga anak pengantin kini sudah berusia hampir 4 tahun, hadiah itu belum sampai ke tangan penerimanya.

Untuk rekod, pada 2015 KDYTM Tengku Mahkota Pahang (sekarang Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong) juga pernah mengeluarkan surat titah kepada Pegawai Daerah Temerloh supaya TIDAK memusnahkan sangkar ternakan ikan Patin saya itu, sebaliknya membiarkan saya meneruskan operasi ternakan ikan Patin sangkar di tapak berkenaan tetapi titah itu kemudian dingkari oleh Pegawai Daerah Temerloh yang baharu selepas itu apabila beliau sendiri mengeluarkan notis baharu untuk sekali lagi mengancam bagi meroboh dan memusnahkan sangkar Ikan berkenaan.

Aku juga tahu di sebalik semua ini, ada gerakan bersepadu pemimpin politik dan pegawai kanan Kerajaan Negeri Pahang yang turut bersekongkol disebabkan dendam lama terhadap saya sebagai wartawan yang sering melapor dan mendedahkan penyelewengan khususnya dalam kegiatan pembalakan, perlombongan dan penerokaan tanah haram di Pahang.

Saya mahu kamu semua tahu, walau apa pun kezaliman yang kamu lakukan, saya tidak akan pernah berundur daripada perjuangan saya untuk terus membela nasib rakyat marhaen dan menyelamatkan alam sekitar yang telah hampir nazak dek kerakusan dan ketamakan kamu menyalahguna kuasa demi mengejar kemewahan duniawi.

Biarlah saya muflis harta dunia asalkan saya tidak muflis amal salih dan pahala kebaikan di akhirat nanti.

Insaflah, apabila sampai masanya nanti Allah SWT akan mufliskan kamu juga hingga tinggal hanya sehelai kain kafan dan liang lahat yang sempit sebagai kediaman abadi kamu.

Terima kasih Saudara Mohd Iqbal kerana kamu berjaya memulakan gerakan bersepadu bagi menutup satu sumber rezeki keluarga saya itu tetapi Alhamdulillah kuasa Allah telah menggantikan sumber rezeki baharu yang jauh lebih baik daripada itu untuk saya dan keluarga saya.

Kamu dan sekutu kamu boleh terus menyaman saya yang sudah muflis ini sesuka hati kamu lagi tetapi saya hanya akan tunduk sujud kepada Allah SWT memohon belas kasihan dan perlindungan-Nya.

Aku si muflis dunia, Khaidir Ahmad

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo