NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Empat Masjid Ditutup Sementara di Kuantan

Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap antara empat masjid di Kuantan yang akan ditutup sementara. -Foto Ihsan Facebook

KUANTAN: Empat masjid diarahkan tutup sementara, berikutan terdapat satu kes disahkan positif wabak COVID-19 di daerah ini.

Empat masjid terbabit ialah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (MSAS) Sungai Isap, Masjid Othman Ibnu Affan Bukit Rangin, Masjid Lama Permatang Badak dan Masjid al-Hidayah Paya Besar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman, berkata penutupan empat masjid berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Task Force diadakan Jumaat lalu, yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Beliau berkata, pada mesyuarat itu Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), diminta meneliti keperluan untuk mengarahkan masjid sekitar rumah individu terbabit yang disahkan positif COVID-19, tidak mengadakan solat Jumaat dan ditutup sementara.

Katanya, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak berlaku penularan wabak COVID-19.

"Walaupun berat keputusan itu, demi keselamatan masyarakat setempat Kerajaan Negeri terpaksa mengambil langkah pencegahan awal.

"Masyarakat tidak perlu terlalu cemas, berikutan terdapat kes COVID-19 di daerah ini dan Jerantut kerana Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi berkaitan sudah mengambil langkah pencegahan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Norolazali berkata, masyarakat turut diingatkan supaya terus mengamalkan normal baharu terutama membabitkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, jaga kebersihan dan tidak berkumpul dengan jumlah yang ramai.

Sementara itu, Pengerusi MSAS Sungai Isap, Dr Sharafuddin Aisa Osman, berkata penutupan sementara MSAS, selepas pihaknya mendapat arahan daripada Pejabat Kadi Daerah Kuantan, Jumaat lalu.

Katanya, solat fardu dan Jumaat serta semua bentuk aktiviti keagamaan ditangguhkan sehingga mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian tidak diingini.

"Saya berharap masyarakat setempat bersabar, seterusnya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan dan kesihatan diri sendiri, keluarga serta individu lain. Penutupan sementara masjid, bagi memastikan tidak berlaku aktiviti berkumpul," katanya - BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo