NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

CEO Kumpulan MSM Diarah Bercuti Serta Merta

Datuk Khairil Anuar

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) telah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MSM untuk bercuti serta-merta sehingga notis lanjut daripada Lembaga Pengarah syarikat pengeluar gula itu.

Dalam masa yang sama, MSM dalam makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu diberi tempoh tujuh hari bermula semalam untuk menjawab tuduhan ketidakseimbangan inventori di anak syarikat MSM iaitu MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd.

MSM berkata, syarikat pengeluar gula itu akan meneruskan operasi perniagaan seperti biasa walaupun berlaku perkara di luar jangka itu.

“Lembaga Pengarah telah melantik Fakhrunniam Othman sebagai Pegawai Bertugas untuk menjalankan tugas-tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan secara sementara. Fakhrunniam ketika ini menjawat jawatan Pegawai Pelaburan Kumpulan FGV Holdings Bhd.

“Lembaga Pengarah turut menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Lembaga Pengarah merangkumi tiga ahli pengarah MSM iaitu Datuk Syed Hisham Syed Wazir, Datuk Dr. Abd. Hapiz Abdullah dan Datuk Haris Fadzilah Hassan untuk membimbing dan membantu Pegawai Bertugas dalam tempoh sementara ini.

“Pengumuman selanjutnya akan dibuat sekiranya terdapat perkembangan penting mengenai perkara ini,” katanya dalam makluman tersebut semalam.

Berdasarkan laman web MSM, CEO Kumpulan syarikat pengeluar gula halus itu adalah Datuk Khairil Anuar Aziz.

Khairil Anuar telah dilantik sebagai CEO Kumpulan MSM pada 23 April 2019. Beliau sebelum itu pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi dan Sektor Lain di samping Pengarah Eksekutif MSM pada Januari 2017.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Sektor Gula dalam FGV daripada Januari 2018.
MSM yang dimiliki 51 pe­ratus oleh FGV merupakan pengeluar gula terbesar negara dan satu daripada pengeluar gula terbesar Asia.

Syarikat itu terlibat dalam penghasilan, pemasaran dan penjualan produk gula halus dengan jenama utamanya iaitu Gula Prai menerusi dua anak syarikat operasi, MSM Prai Berhad dan MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd.

Dalam suku kedua tahun ini, syarikat pengeluar gula gergasi negara itu me­ngumumkan penurunan kerugian selepas cukai berjumlah RM21.55 juta atau 67.99 peratus berbanding RM67.33 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan MSM bagi tempoh tiga bulan berakhir 30 Jun 2020 itu susut RM25.48 juta atau 5.4 peratus kepada RM448.74 juta berbanding RM474.22 juta tempoh sama 2019.

Penurunan pendapatan itu didorong oleh pengurangan penjualan kuantiti dalam segmen borong jika dibandingkan suku sama tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo