Belia Antara Golongan Sasar Utama Belanjawan 2021 - Tengku Zafrul


KUALA LUMPUR, 11 Sept  -- Kerajaan akan mengutamakan belia sebagai satu daripada golongan sasar dalam Belanjawan 2021, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bercakap pada majlis Penyerahan Felo Korporat 2020 di Menara Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya hari ini, beliau berkata pelbagai langkah akan dipertimbangkan untuk kelangsungan golongan belia di negara ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.Kerajaan telah memperuntukkan pelbagai inisiatif berjumlah RM3.5 bilion di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dalam usaha memperkasakan golongan belia.

Katanya antara inisiatif yang memberi kesan secara langsung kepada belia ialah program insentif pengambilan pekerja berjumlah RM1.5 bilion dan peningkatan kemahiran dan kemampuan diri supaya belia dapat memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Inisiatif tambahan yang disediakan melalui PENJANA ialah peruntukan RM2 bilion untuk tujuan itu,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata pelaksanaan PRIHATIN dan PENJANA dapat membantu merangsang pasaran kerja sekali gus kepada ekonomi negara.

"Kita dapat lihat kadar pengangguran telah berkurangan daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.9 peratus pada Jun dan seterusnya 4.7 peratus pada Julai berikutan pelaksanaan program seperti subsidi upah dan pengekalan pekerja.

“Alhamdulillah, indikator ekonomi lain juga mencerminkan keadaan ekonomi yang semakin pulih,” katanya.

Menteri Kewangan itu berkata ekonomi negara sedang pulih secara beransur-ansur sejajar dengan pembukaan sektor ekonomi sejak Mei lepas dan dijangka berterusan terutamanya dalam tempoh separuh kedua 2020.

Menurut Bank Negara Malaysia, prospek pertumbuhan ekonomi negara bagi keseluruhan 2020 telah disemak semula dan dijangka mencatat antara -5.5 peratus hingga -3.5 peratus.

Pada 2021, ekonomi dijangka berkembang sekitar 5.5 peratus hingga 8.0 peratus.

Tengku Zafrul yakin unjuran kadar pertumbuhan bagi 2021 mencerminkan tanda-tanda kukuh pemulihan ekonomi Malaysia.

“Bagaimanapun, bagi mencapai pertumbuhan yang positif tahun depan, kita perlu terus mematuhi prosedur operasi standard bagi membendung pandemik COVID-19.

“Pada masa yang sama, kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan dengan meringankan kebimbangan mengenai aliran tunai dan menyediakan sokongan yang diperlukan,” katanya.

-- BERNAMA

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post