Anwar Lakukan Kesilapan Besar


ALOR SETAR -
 Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan kesilapan besar dalam karier politiknya apabila mengumumkan sudah memperoleh sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan baharu.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, Anwar membuat percaturan terbesar ketika nama beliau sudah terpinggir daripada senarai calon Perdana Menteri.

Menurutnya, risiko tindakan Anwar itu amat besar terutama apabila dinafikan banyak pihak yang dikaitkan dengan komplot berkenaan sedangkan sehingga kini ia belum menjadi kenyataan.

“Sehingga kini tiada pertukaran kerajaan, sudah tentu kewibawaan Anwar dan PKR merudum dan sukar dipulihkan kembali.

“Pada masa sama, jika pengumuman itu tidak menjadi kenyataan sekalipun, ia tetap beri impak kepada perkembangan politik negara. Antaranya mencetuskan kecurigaan dalam kalangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap kesetiaan ahli Parlimen UMNO dan BN,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Kamarul Zaman berkata, Anwar sebenarnya telah melakukan 10 kesilapan menerusi Langkah Le Meridien pada Rabu lalu.

“Kesilapan pertama beliau adalah terlalu yakin ketika mengumumkan kerajaan pimpinan Muhyiddin telah tumbang, sedangkan pengumuman seumpama sepatutnya dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah melalui proses perlembagaan yang diperuntukkan,” katanya.

Menurutnya, keyakinan Anwar mengumumkan beliau mempunyai majoriti kukuh dan hampir dua pertiga sokongan di Parlimen tanpa memberikan bukti juga sukar diterima banyak pihak.

“Malah Anwar begitu yakin mengumumkan beliau akan membentuk kerajaan baharu tanpa mengambil kira kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pembubaran Parlimen.

“Kesilapan lain termasuk mengumumkan ahli-ahli Parlimen bersama beliau sedangkan keputusan itu tidak dirunding atau diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Kamarul Zaman berkata, dengan yakinnya Anwar mengumumkan beliau mendapat sokongan Ahli Parlimen BN tanpa memberikan senarai nama individu terlibat, mencetuskan keraguan apabila dinafikan individu terlibat.

“Beliau juga silap percaturan apabila mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tiada bersama beliau dalam kerajaan baharu, sedangkan Dr Mahathir dan pemimpin Pejuang mungkin mampu mempengaruhi ahli-ahli Parlimen lain untuk menolak pembentukan kerajaan baharu itu,” katanya.

Anwar yakin dapat sokongan menjadi Perdana Menteri. -Foto Bernama

Anwar yakin dapat sokongan menjadi Perdana Menteri. -Foto Bernama

Menurutnya, kesilapan lain ialah Anwar membuat andaian Yang di-Pertuan Agong akan menerima perancangan beliau.

Ini kerana, katanya, berdasarkan titah pada pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 lalu, Seri Paduka Baginda mengingatkan pemimpin politik tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik tidak menentu ketika rakyat berhadapan pelbagai masalah akibat pandemik Covid-19.

“Anwar kelihatan yakin rakan-rakan lama PH dan rakan baharu yang menyertai beliau boleh menerima antara satu sama lain, sedangkan banyak petanda menunjukkan sebaliknya.

“Anwar turut yakin tiada perubahan boleh berlaku antara tarikh beliau umumkan pembentukan kerajaan baharu dengan tarikh menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan tarikh Seri Paduka Baginda menemu duga semua ahli Parlimen, sedangkan banyak perubahan boleh berlaku,” katanya.

Tambah Kamarul Zaman, Anwar juga melakukan kesilapan apabila mengumumkan sendiri kenaikan diri beliau dan rancangan pembentukan kerajaan baharu, sedangkan ia lebih wajar dilakukan bersama rakan PH.

Pada Rabu lalu, Anwar mengadakan sidang akhbar khas mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu.

Malah, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menegaskan bahawa majoriti diperoleh adalah konklusif dan bukannya majoriti tipis. - SH    


  



Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post