SPRM Belum Panggil Saya - Guan Eng


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, belum dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan dakwaan beliau meluluskan 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau juga tidak dihubungi oleh mana-mana pihak daripada SPRM berhubung perkara itu.

"Mereka belum contact (hubungi) saya. Kalau contact saya sekali pun, saya bukan ada senarai nama penuh syarikat dianugerahkan surat tawaran projek terbabit secara rundingan terus kerana bukan lagi menteri.

"SPRM kena hubungi Kementerian Kewangan dahulu kerana hanya mereka ada senarai penuh, bukannya saya kerana saya bukan lagi Menteri Kewangan.

"Saya tidak mempunyai butiran lanjut mengenai 101 projek dikatakan diberikan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan ketika PH memerintah," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Bagan itu mengakui ada memberi kelulusan bagi beberapa projek secara rundingan terus sepanjang 22 bulan pentadbiran PH.

Ia susulan pendedahan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Dewan Rakyat yang menjelaskan kerajaan terdahulu meluluskan 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, pada persidangan sama, turut menjelaskan Kabinet PH tidak pernah dimaklumkan mengenai projek secara rundingan terus berkenaan.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, mengakui khuatir SPRM mengamalkan sikap pilih kasih dan menjadi senjata politik sesetengah pihak.

Katanya, SPRM perlu bersikap adil dan membuat kajian serupa ke atas projek rundingan terus dilakukan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelak masalah disifatkan sebagai 'antara dua darjat'

"Kegagalan SPRM buat kajian ke atas projek runding terus mereka boleh menimbulkan persepsi negatif antara dua darjat atau 'double standard' (pilih kasih)," katanya. - BH

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post