NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Slim Bermula Esok

PRK Slim: Lapan borang pencalonan sudah dibeli

TANJUNG MALIM, 14 Ogos  -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bermula esok dengan proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini.

Proses penamaan akan bermula 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus PRK Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenar masuk ke pusat penamaan calon.

Menurut kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penyokong parti politik tidak dibenar hadir ke pusat penamaan calon dan aktiviti berkumpul serta perarakan juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

PRK ini merupakan yang kedua diadakan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas, selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lepas. Ia juga merupakan PRK ke-12 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Garis panduan yang diguna pakai semasa PRK DUN Chini akan dipraktikkan semasa PRK DUN Slim dengan beberapa penambahbaikan, antaranya bilik gerakan parti dibenar dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR.

Barisan Nasional (BN) pada Rabu mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan, manakala peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dinamakan sebagai calon mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amir Khusyairi bagaimanapun akan bertanding atas tiket Bebas memandangkan parti baharu Dr Mahathir, Pejuang masih belum didaftarkan. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas.

Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, kerajaan Perikatan Nasional mempunyai 32 kerusi terdiri daripada BN (25) yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala blok pembangkang terdiri daripada DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga) dan Gerakan (satu).

Bebas mempunyai dua kerusi yang menyokong kerajaan PN negeri. 

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu melibatkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo