NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Permohonan Musa Aman Cabar Keputusan Bubar Dun Sabah diputuskan 17 Ogos

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini menetapkan 17 Ogos ini untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN Sabah.

Perkara itu dibawa ke mahkamah oleh Tengku Fuad Ahmad, peguam bekas ketua menteri Musa Aman dan 32 lagi ahli DUN yang memohon kebenaran mahkamah untuk semakan kehakiman.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Tengku Fuad berkata mahkamah juga menetapkan 10 Ogos ini untuk hujahan bertulis daripada Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh dan 12 Ogos bagi pihaknya memfailkan hujahan balas.

Dia berkata permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman itu bagi menentukan sama ada Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, sebagai responden pertama, telah bertindak mengikut undang-undang semasa membubarkan DUN atas nasihat Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal, responden kedua.

"Kita akan bersidang semula di sini pada 17 Ogos ini untuk hujahan tambahan atau keputusan,” kata Tengku Fuad yang ditemui di kompleks mahkamah di sana.

Permohonan itu juga menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya dan kerajaan negeri Sabah sebagai responden ketiga dan keempat masing-masing.

Tengku Fuad menjelaskan hujahan yang dikemukakan di hadapan Shim ialah Tun Juhar tidak dinasihati secara betul oleh Mohd Shafie dalam menggunakan kuasanya untuk membubarkan DUN di bawah perlembagaan negeri.

Pada 30 Julai, Mohd Shafie mengumumkan yang dia menerima kebenaran Tun Juhar untuk membubarkan DUN berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari.

Ketua menteri itu mendapatkan kebenaran membubarkan DUN selepas Musa, pada sidang media, mengumumkan yang beliau mendapat sokongan 33 Adun untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Sabah mempunyai 65 Adun.

-Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo