NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasca Mahathirisme: PAS Optimis Melangkah Ke Hadapan Dengan Islam

Image may contain: 3 people, text that says 'ISLAM OPTIMIS Melangkah Ke Alaf Baru Mengapa Pilih Parti Islam? IBNU DAULAH B.A (Hons) Syariah Al-Azhar'
Islam sentiasa optimis untuk melangkah ke hadapan. Parti yang mendukung Islam berdasarkan al-Quran dan Sunnah akan menjadi pilihan rakyat, setelah gagalnya ideologi-ideologi ciptaan manusia

Kejayaan PAS menyatukan parti-parti Melayu (baca: orang Islam) melalui wadah Gagasan Sejahtera, kemudian Muafakat Nasional, dan terkini Perikatan Nasional telah memberikan kekuatan baru kepada politik umat Islam hari ini, sekali gus membentuk kestabilan politik negara. Inilah strategi yang digunakan oleh Rasulullah SAW dalam melumpuhkan pengaruh Yahudi di Madinah. Selama ini, Yahudi mengambil pendekatan politik pecah dan perintah untuk melemahkan bangsa Arab di Yathrib (Madinah). Model politik Yahudi ini ditiru oleh DAP ke atas orang Melayu.


Kini, seluruh perancangan jahat musuh-musuh Islam dihempapkan oleh Allah ke atas kepala mereka sendiri. Dengan pergolakan terbaru melibatkan politik tikam belakang di Sabah yang meruntuhkan Kerajaan Warisan, pendakwaan terhadap sejumlah pemimpin DAP atas tuduhan salah laku dan penubuhan parti baru serpihan BERSATU menunjukkan PH kini berada dalam kedudukan yang paling lemah. Anwar Ibrahim mungkin boleh melupakan dahulu cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri. Beliau perlu berfikir tentang langkah-langkah membina semula keyakinan rakyat terhadap kleptokrasisme yang kini berjangkit kepada pemimpin PH.


PAS tidak memandang ke belakang lagi. Biarlah PH terjun dengan labu-labunya! PAS terus mengorak langkah ke hadapan memimpin perpaduan dan mewujudkan kestabilan politik negara. PAS mempunyai agenda besar untuk meletakkan Islam di tempat yang tertinggi. Menguasai, bukan lagi dikuasai! Rakyat perlu diperlihatkan dengan kemampuan Islam untuk memimpin perubahan politik di negara ini. Rakyat sudah melihat bagaimana gagalnya Regim BN selama 61 tahun memerintah, dan rakyat juga menyaksikan bagaimana cacamerbanya PH selama 22 bulan menguasai Putrajaya.


PAS telah mempunyai model pentadbiran dan pemerintahan Islam di Kelantan selama 30. Kerajaannya bersih, telus dan cekap walaupun miskin. Kelantan telah memperlihatkan budaya tadbir 'lima bintang' yang diiktiraf, mencatat ekonomi surplus tiga tahun berturut-turut dan berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi terbaik pada tahun 2019 sebanyak 5.3 peratus, mengatasi Kerajaan Pusat yang hanya tumbuh sebanyak 4.3 peratus. Pembaharuan Kelantan selama 30 tahun yang menjadi model, tiruan dan ikutan pelbagai pihak yang tidak perlu dicatatkan lagi.

Image may contain: text that says 'Ahmad Lutfi Othman SELEPAS MAHATHIR PELUANG PAS Penerbitan Pemuda'
Ahmad Lutfi Othman, seorang wartawan dan penganalisis politik telah menjangkakan bahawa kejatuhan Mahathir adalah kebangkitan bagi PAS. Mungkin sebelum ini ramai yang menyangka zaman Mahathir berakhir pada 2003, lalu mengabaikan analisis Ahmad Lutfi. Tidak! Sebenarnya zaman Mahathir berakhir pada 2020.

Sayang sekali! Keindahan dan keadilan Islam yang terbangun di Kelantan diselubungi oleh asap tebal kedengkian politik dan diskriminasi media. Kelantan sentiasa dimomokkan dengan unsur-unsur negatif, kononnya Islam anti pembangunan. Pencapaian-pencapaian Kelantan hari ini wajar membuka mata rakyat Malaysia, bahawa Islam memang boleh! PAS wajar mengambil kesempatan daripada ruang dan kedudukannya sebagai pemerintah Pusat hari ini untuk menzahirkan semula Kelantan sebagai model negara sejahtera yang dibangunkan oleh PAS selama 30 tahun.


Rakyat sekarang ini sedang memerhatikan dengan penuh minat tentang kebolehupayaan PAS yang memimpin negara. Prestasi para Menteri, ahli-ahli Parlimen dan pegawai-pegawai PAS sedang dinilai oleh mereka. Rakyat sedang membandingkan tentang empat perkara:


I. Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS. Apakah ia mampu memenuhi keperluan semasa rakyat setelah sekian lama mereka berada di dalam kepompong sekularisme. Mampukah Islam menangani perubahan dan perkembangan dunia terkini? Semuanya terletak di tangan para pemandu PAS sekarang.


II. Para ahli agama, ulamak dan Islamis. Apakah mereka boleh memimpin dan mentadbir. Telah lama PAS dimomokkan sebagai 'Parti Lebai' dan hari ini pun, pelbagai pihak merendahkan darjat 'para lebai' ini. Jika PAS dapat menunjukkan contoh kepemimpinan yang bijaksana, berwawasan dan berwibawa sekarang ini, seluruh fitnah tersebut akan terhenti.


III. Aturan syariat. Apakah aturan dan undang-undang syariat yang diperjuangkan oleh PAS akan menzalimi rakyat, khususnya orang bukan Islam. Keberhasilan PAS menerapkan syariat yang menjadi pintu keadilan kepada rakyat, akan menjawab seluruh keraguan yang tertanam di hati mereka selama ini. Dan,


IV. Parti Islam boleh mentadbir. Sudah banyak penganalisis politik membuat telahan liar dengan merumuskan bahawa gerakan Islam telah gagal. Gagal memenangi hati rakyat. Gagal menunjukkan model pentadbiran baik. Gagal memberikan kepuasan kepada naluri manusia yang tidak pernah puas. Kini, PAS berpeluang untuk menunjukkan bagaimana gerakan Islam mentadbir berlandaskan al-Quran dan 'memfotostat' model pentadbiran Rasulullah SAW untuk diterjemahkan kepada masyarakat kontemporari.

Image may contain: text that says 'ISLAM MEMIMPIN ABDUL HADI AWANG'
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mempunyai wawasan jangka panjang untuk memastikan Islam memimpin. Cukuplah 100 tahun umat dipimpin oleh ideologi ciptaan manusia. Manusia perlu kembali kepada Islam. Biarkan Islam yang memimpin dunia menuju redha Allah.

PAS berada dalam situasi terbaik kini, ketika umat Islam sedang bergerak, melangkah masuk ke tahun 1442H, 10 hari dari sekarang. Tajdid agama pada setiap 100 tahun yang dijanjikan oleh Nabi SAW kini berada di gerbangnya. Saat jatuhnya Khilafah Othmaniyah pada 27 Rajab 1342 (3 Mac 1924), seluruh dunia melihat Islam dan Kerajaan Islam sebagai 'The Sick Man.' Tiada keyakinan di hati dunia terhadap keupayaan Islam. Bahkan, di mana-mana umat Islam sendiri menolak Islam politik. Kini tiba saat PAS membuktikan sebaliknya!


Berakhirnya zaman Mahathir dengan kajatuhannya pada Februari 2020 menandakan bermulanya kebangkitan sebenar PAS. Sejak 1981, PAS ditekan oleh Mahathir, di samping kosmetik Islam yang diterapkan oleh Mahathir untuk menyaingi PAS. Kini, politik Malaysia adalah pasca Mahathirisme. PAS telah mengambil kedudukan terbaik untuk membuat lonjakan politik. Tekanan Mahathir selama lebih 30 tahun telah mematang, mendewasa dan menjadikan PAS sarat dengan pengalaman. Kini, PAS optimis melangkah ke hadapan dengan Islam!


FB Mohd Fahdli Ghani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo