NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mukriz Beri "Alasan" Kekalahan PRK DUN Slim

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mukhriz Mahathir berpendapat adalah menjadi satu kebiasaan bagi pengundi bukan Melayu memilih calon parti kerajaan pada pilihan raya kecil (PRK).

Beliau berkata demikian susulan kekalahan calon bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mewakili Pejuang pada PRK Dun Slim hari ini.

“Pengundi bukan Melayu anggaran kami biasanya dalam satu pilihan raya kecil, mereka akan mengekalkan calon pihak kerajaan.

“Ini kerana sebarang peruntukan peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan akan terus disalurkan (jika calon kerajaan menang),” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama, di Taman Slim Perdana, Slim River.

Turut hadir, Amir Khusyairi, Anggota Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah dan Senator Marzuki Yahya.

Pada PRK berkenaan, Amir tewas kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang memperolehi majoriti besar sebanyak 10,945 undi.

Seorang lagi calon bebas, S Santharasekaran pula hanya memperoleh 276 undi dan hilang wang deposit.

Parti Pejuang yang merupakan parti serpihan Bersatu juga tewas di kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan India.

Ini berbeza pada PRU14 lalu apabila calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim yang bertanding atas tiket PKR menang enam PDM di mana kebanyakannya merupakan pengundi majoriti Cina dan India.
 
Bagaimanapun, Muhkriz yang juga Anggota Parlimen Jerlun yakin bahawa keadaan ini mungkin berubah dalam PRU akan datang.

“Saya ingat dalam PRU keadaan mungkin berubah. Jadi kami terima baik PRK Slim ini.

“Pada waktu sama kami ingin menyatakan bahawa kami lebih sedia menghadapi PRU yang akan datang,” katanya lagi.

‘Satu pertiga tidak keluar mengundi’

Sementara itu, dalam sidang media itu, Mukhriz berkata hampir satu pertiga daripada jumlah 23,181 pengundi tidak keluar mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 68.4 peratus.

“Ini menunjukkan bahawa masih hampir satu pertiga pengundi yang tak keluar mengundi iaitu pada anggaran kami lebih 7,300 orang yang tak keluar mengundi. Tentu ada sebab,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa hampir 35 peratus pengundi muda juga tidak keluar mengundi pada PRK kali ini.

“Kebiasaanya, 45 hingga 48 peratus adalah pengundi muda dalam satu kawasan. Tapi, di PRK Slim 35 peratus daripada pengundi-pengundi muda tidak turun mengundi kali ini.

“Ini berbeza dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak BN, yang menyatakan kononnya pengundi-pengundi muda menyokong pihak mereka.

“Sebenarnya semakan kami, ramai daripada pengundi-pengundi muda ini tidak turun mengundi,” katanya.

PRK Slim diadakan berikutan kematian adunnya, Mohd Khusairi Abdul Talib akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu.

Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Dun Slim mempunyai 23,181 pengundi di mana 75 peratus pengundi adalah berbangsa Melayu, diikuti kaum India (13 peratus), Cina (10 peratus), dan lain-lain (dua peratus). MB

-----------------------------------------------------------
Nota : Harap Mukriz guna alasan lain. Rakyat Malaysia sudah banyak kali menyaksikan pengundi bukan Melayu tidak memberi undi kepada parti kerajaan dan parti kerajaan kalah di dalam pilihanraya kecil sebelum ini. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo