Muflis: Pelepasan automatik selepas 3 tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberikan pelepasan automatik kepada penghutang selepas tiga tahun diisytihar muflis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Dato’ Takiyuddin Hassan berkata, terdapat syarat-syarat telah digariskan di bawah Akta Insolvensi 1967 yang perlu dipatuhi dalam masa memohon pelepasan tersebut. 

“Kunci utama seseorang bankrap agar status kebankrapannya tidak menjadi berkekalan sepanjang hayat ialah mereka perlu memahami, memberi kerjasama yang penuh, mematuhi arahan Jabatan Insolvensi Malaysia di mana ianya banyak akan membantu perkara ini.

“Pindaan ini tidak akan memberi kesan dan impak yang positif sekiranya si bankrap ini tidak memberi kerjasama yang penuh kepada jabatan yang berkaitan,” jelasnya di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru itu, menurutnya pindaan tersebut dapat membantu dan memudahkan individu yang bankrap untuk memahami dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan berdasarkan undang-undang yang telah digariskan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pelepasan tersebut merupakan peruntukan baharu yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan di bawah Seksyen 33C bagi membantu mempercepatkan status kebankrapan penghutang agar tidak berkekalan sepanjang hayat.

“Pindaan 2017 ini telah memperkenalkan satu peruntukan baharu di bawah Seksyen 33C iaitu mengenai pelepasan automatik.

“Di mana tempoh kebankrapan seseorang bankrap itu ditadbir selama tiga tahun daripada tarikh beliau memfailkan Penyataan Hal Ehwal (Statement of Affairs) dengan mengambil kira amalan baik antarabangsa bagi melayakkan orang yang bankrap itu dilepaskan secara automatik,” jelasnya.

Beliau mengambil contoh negara luar seperti Hong Kong yang mengambil masa selama empat tahun manakala Thailand, Australia dan New Zealand hanya selama tiga tahun.

Katanya, Akta Insolvensi 1967 yang dikuatkuasakan pada Oktober 2017 lalu telah diteliti dan dikaji semula bagi membantu para penghutang dan pemiutang menyelesaikan segera urusan hutang dan tidak membebankan.

“Kerajaan telah membuat kajian undang-undang berkaitan dengan kebankrapan ini terutamanya yang terakhir melalui Akta Kebankrapan yang dipinda pada tahun 2017.

“Akta tersebut berkuatkuasa pada 6 Oktober 2017, ianya melibatkan kenaikan amaun minima daripada RM30,000 kepada RM50,000.

“Melalui pindaan ini juga, kerajaan telah memberi perlindungan jaminan kepada mereka yang bankrap berdasarkan kepada lunas undang-undang yang telah digariskan berdasarkan rujukan kita,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 4/8/2020

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post