NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan PN perlu nilai semula keputusan tidak tubuh RCI Tabung Haji


1. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kekal tegas mendesak agar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) menyiasat sebarang salah laku dan penyelewengan dalam urusniaga Tabung Haji.

2. Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam Tabung Haji oleh Kerajaan PH terdahulu, yang sehingga kini tiada satupun didakwa ke muka pengadilan, sehinggalah pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuklah isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations dengan harga di bawah nilai pasaran.

3. Ini tidak termasuk aset-aset hartanah Tabung Haji bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd. Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel Tabung Haji seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan Tabung Haji.

4. Harus diingat Tabung Haji adalah institusi yang cukup bernilai di hati rakyat Malaysia. Sebelum PH memerintah, Tabung Haji tidak pernah gagal dalam merealisasikan matlamat penubuhan yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

5. Kecemerlangan Tabung Haji sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25% setelah ditolak zakat 2.5%.

6. Sebab itulah, apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal, defisit yang melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan.

7. Justeru, Pemuda UMNO menuntut agar Kerajaan PN dapat menilai kembali keputusan untuk tidak menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini. Hanya RCI mampu menghentikan polemik tuduh-menuduh atas segala penyelewengan dan penyimpangan terhadap urusniga TH yang tiada berkesudahan, sekaligus mengembalikan keyakinan 9.3 juta pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam ini.

Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

6 Ogos 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo