NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Warisan kembali berkuasa di Sabah?


Oleh Ahmad Abd Hamid

MUNGKINKAH Warisan berjaya memegang kembali tampuk pemerintahan negeri Sabah selepas pilihan raya negeri (PRN) yang bakal menjelang? Atau adakah Sabah bakal diterajui oleh Barisan Nasional (BN) yang kehilangan kuasa selepas pilihan raya 2018?

Yang pasti kedua-dua parti ini akan berusaha keras memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan negeri. Warisan dan parti-parti yang bersekutu dengannya pasti mahu meneruskan kuasa yang dipegang sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa sama BN dan parti sekutunya juga mahu merampas kembali kerajaan negeri. Hasrat ini begitu membara, didorong oleh harapan tidak kesampaian apabila usaha membentuk kerajaan dengan bantuan ADUN Warisan yang berpaling tadah gagal.

Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal, tidak dapat menerima hakikat ada ADUN Warisan dan sekutu yang melompat dan mahu menumbangkan kerajaan negeri pimpinannya. Ini ternyata dengan tindakannya memohon dan mendapat perkenan Yang Di Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN.

Diramalkan pertandingan sengit akan hanya berfokus kepada Warisan dan BN. Parti-parti kecil yang mungkin turut bertanding jika pun menang satu dua kerusi tidak dapat membentuk kerajaan. Tetapi mereka boleh menjadi ‘king maker’ atau penentu jika tiada parti yang memperolehi majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan.

Justeru amat menarik untuk melihat apakah pendirian rakyat Sabah dalam pilihan raya kali ini. Ke manakah arah pemilihan mereka yang terpaksa kembali ke peti undi sekali lagi sedangkan mereka baharu berbuat demikian lebih kurang 26 bulan lalu.

Perubahan kerajaan di Sabah sebenarnya bukanlah sesuatu yang terlalu luar biasa. Negeri itu sekian lama didominasi oleh USNO. Namun kuasa kemudian berpindah kepada Berjaya, Parti Bersatu Sabah (PBS), UMNO/BN dan Warisan. Ertinya dalam hal memilih kerajaan negeri, rakyat Sabah sudah biasa.

Malah rakyat negeri bawah bayu itu dilihat mengamalkan ciri demokrasi dalam erti kata sebenar. Kerana itulah mereka bersedia menukar selera dengan memilih kerajaan lain apabila merasakan perubahan perlu dilakukan walau pun kebiasaannya pertukaran ini hanya dapat dilakukan lima tahun sekali.

Kerana itulah rakyat Sabah mempunyai pengalaman merasai era pentadbiran kerajaan daripada beberapa parti berlainan. Pengalaman inilah yang bakal mereka jadikan sebagai salah satu kriteria untuk memutuskan parti mana yang wajar diberi kepercayaan membentuk kerajaan selepas pilihan raya nanti.

Cuma yang perlu diingat setiap parti yang bertanding, termasuk Warisan dan BN, mempunyai penyokong tegar masing-masing. Justeru persaingan mendapatkan kerusi majoriti pasti sengit. Malah tidak mustahil tiada parti yang mendapat mandat mutlak untuk membentuk kerajaan.

Oleh itu parti yang ingin meraih tampuk kuasa perlu menyerlahkan ia adalah yang terbaik serta mempunyai visi membangunkan negeri dan memakmurkan rakyat, bukan retorik semata-mata yang berubah selepas menang. Malah sikap dan peribadi mereka yang bertanding juga diambil kira.

Rakyat sudah bijak memilih dan mereka mahu memastikan orang yang akan diletakkan di tampuk kuasa mestilah yang sentiasa mengutamakan rakyat dan memertabatkan kehidupan mereka baik daripada aspek ekonomi, sosial dan sebagainya.

Sehingga ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan tarikh penamaan calon dan tarikh membuang undi di Sabah. Sehingga itu debaran akan berterusan. Namun diharapkan dalam pelbagai parti saling bersaing, proses demokrasi akan dipertahankan dan semua urusan pilihan raya berjalan lancar.

-BebasNews

Sumber: https://bebasnews.my/?p=41325

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo