NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KASA Tubuh Waqaf Air


Setelah hampir lima bulan dilantik menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato Tuan Ibrahim Bin Tuan Man hari ini mengumumkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menubuhkan sebuah institusi yang berkaitan dengan Waqaf air. 

Di dalam ucapan penggulungan perbahasan Titah Ucapan Yang Di Pertuan Agong di  Dewan Rakyat petang tadi, Dato Tuan Ibrahim mengumumkan institusi berkaitan Waqaf Air ini sedang diusahakan penubuhannya oleh KASA, bertujuan untuk membantu perbekalan air kepada rakyat.

Konsep Waqaf Air ini mengambil contoh daripada tindakan Sayyidina Uthman Bin Affan yang telah mewaqafkan Telaga Rumah untuk kegunaan Penduduk awam Madinah di masa Rasulullah saw. 

Amalan Sayyidina Uthman tersebut telah diikuti oleh para dermawan Muslim sepanjang sejarah peradaban Islam sehingga wujud kemudahan-kemudahan bekalan air untuk kegunaan awam di zaman Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah. 

Masyarakat Muslim dididik mewaqafkan air akan diberi ganjaran besar oleh Allah swt.

Kewujudan institusi berkaitan Waqaf Air ini selari dengan agenda Negara Berkebajikan yang di usahakan oleh PAS, iaitu masyarakat awam khususnya golongan berkemampuan berkongsi tanggungjawab dengan Kerajaan untuk menyediakan keperluan asas dan kemudahan awam yang lain kepada rakyat. 

Pendekatan ini bukan sahaja meringankan bebanan Kerajaan tetapi membuka peluang kepada golongan berkemampuan untuk mendapatkan ganjaran pahala Waqaf yang begitu besar dijanjikan oleh Allah swt.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Setiausaha Politik kepada Menteri Alam Sekitar dan Air

3 Ogos 2020
13 Zulhijjah 1441

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo