Di Sebalik Kejayaan Vaksin Covid-19 Rusia


Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Kejayaan Rusia menjadi negara pertama meluluskan pendaftaran vaksin COVID-19 mencuri perhatian seluruh dunia. Namun begitu, ramai yang kurang sedar bahawa kejayaan ini sebenarnya merupakan kejayaan besar kelima berturut-turut buat teknologi Rusia dalam tempoh hanya beberapa bulan.

2. Pada Disember 2019, Rusia telah berjaya menguji peluru berpandu Avangard ‘hypersonic glide vehicle’ (HGV) di mana kuasa ‘hypersonic’ Avangard Rusia ini bukan sahaja mampu mencapai kelajuan 27 kali ganda kelajuan bunyi serta bertahan pada suhu setinggi 2 ribu darjah Celsius, tetapi juga berupaya untuk mengubah haluan di atmosfera, menjadikannya hampir mustahil untuk dipintas.

3. Pada 10 Februari 2020 pula buat pertama kali dalam sejarah ‘konfrontasi’ antara satelit Amerika dengan satelit Rusia di angkasa lepas telah dilaporkan portal terkemuka TIME dengan tajuk ‘Exclusive: Strange Russian Spacecraft Shadowing U.S. Spy Satellite, General Says’ (https://time.com/…/russian-spacecraft-spy-satellite-space-…/). ‘Konfrontasi’ itu terjadi apabila satelit Rusia yang dikenali sebagai Cosmos 2542 dan Cosmos 2543 menghimpit satelit ketenteraan Amerika, USA 245 yang juga dikenali sebagai KH-11.

4. Menariknya, kedua-dua satelit Rusia itu dilancarkan dalam satu roket yang sama iaitu Soyuz-2.1v sebelum mereka berpisah menjadi dua satelit yang berasingan di angkasa lepas; bahkan gerakan tersebut menyamai gerakan sistem persenjataan, menurut Jeneral John "Jay" Raymond, Komander Angkatan Angkasa Lepas Amerika.

5. Pada 15 April 2020 Rusia melancarkan ujian peluru berpandu ‘pembunuh satelit’ (satellite killer) yang dikenali sebagai PL-19 Nudol. Ujian peluru berpandu ‘pembunuh satelit’ oleh Rusia ini dilancarkan dari Plesetsk Cosmodrome dan terbang sejauh 3000 km sebelum terhempas di Laut Laptev.
6. ‘Pembunuh satelit’ PL-19 Nudol Rusia ini dihasilkan oleh kontraktor pertahanan Rusia Almaz Antey, yang sememangnya mengkhusus dalam peluru berpandu jarak jauh – bahkan Nudol dibangun berasaskan sistem anti-peluru berpandu balistik A-235.

7. Pada penghujung Julai 2020 baru-baru ini pula, Rusia berjaya menguji peluru berpandu hipersonik yang dikenali sebagai ‘Zircon’ yang memiliki kelajuan sehingga 7400 km sejam melalui kapal frigate Admiral Gorshkov. 

8. Untuk rekod, jarak antara Moscow dengan New York pula adalah sejauh 7500 km manakala jarak Moscow-Washington sekitar 7800 km. Hal ini bermakna bahawa Rusia berupaya untuk mengirim peluru berpandu nuklear hipersonik ke ibu negara Amerika dalam tempoh kurang sejam – mengambil kira hakikat bahawa pelancaran peluru berpandu berkenaan dilakukan dari kapal frigate Tentera Laut Rusia, dan bukannya dari tengah-tengah bandar Moscow. 

9. Peluru berpandu hipersonik Zircon ini digelar sebagai ‘Senjata Kiamat’ (Doomsday Weapon); ia bukan sahaja mampu memusnahkan sasaran di laut, tetapi juga di darat dengan karakteristik taktikal dan teknikal yang unik. Kejayaan Rusia ini menandakan perlumbaan pembangunan peluru berpandu hirpersonik kini semakin sengit dan memasuki medan peperangan di laut pula.

10. Terbaru, kejayaan vaksin COVID-19 buatan Rusia diumum pula pada 11 Ogos 2020. Meski pun ujian klinikal Tahap Ketiga – ujian peringkat terakhir belum dilepasi – vaksin yang dibangunkan Gamaleya Institute di Moscow ini bakal digunakan secara besar-besaran di Rusia pada Oktober ini. Bahkan seorang anak perempuan Putin sendiri turut menerima vaksin buatan Rusia itu melalui eksperimen sebelum ini.

11. Apa yang pasti, kesemua kejayaan ini cukup bermakna buat Presiden Vladimir Putin yang kini menerima lonjakan moral yang signifikan sejurus selepas pindaan perlembagaan Rusia pada awal Julai lalu. Pindaan perlembagaan tersebut mendapat sokongan kuat sebesar 77.9% pengundi Rusia menyaksikan Vladimir Putin boleh kekal sebagai Presiden sehingga ke tahun 2036.


***Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post