NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bilakah Nabi Berhijrah & Bagaimana Penyusunan Kalendar Islam?






Di dalam kitab al-Rahiq al-Makhtum karangan Syeikh Mubarakfuri, ada menyatakan fakta-fakta tarikh peristiwa besar hijrah Nabi ke Madinah. Ia bermula dari konspirasi musyrikin Quraisy yang cuba membunuh Nabi.


Kronologi.

• 26 Safar bersamaan 12 September 622: Persidangan pembesar-pembesar Quraisy yang mencapai kata sepakat untuk memburu & membunuh Nabi.

• 27 Safar: Setelah Nabi dimaklumkan oleh Jibril, lalu baginda bersama Abu Bakar keluar dari Makkah menuju ke gua Thur yang terletak 5 batu dari kota Makkah. Mereka bermalam di situ selama 3 malam, iaitu dari malam Jumaat hingga ke malam Sabtu.

• 8 Rabiul Awal: Nabi tiba di Quba' & bermalam di situ selama 4 hari, iaitu dari hari Isnin hingga hari Khamis. Baginda mengasaskan masjid Quba dalam persinggahan tersebut.

• 12 Rabiul Awal bersamaan 27 September 622: Nabi masuk ke Madinah dengan sambutan yang gilang gemilang.

Hijrah: Safar - Rabiul Awal.

Jika kita mengamati perbahasan para ulama', sememangnya kita akan mendapati terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan mereka berkenaan hal ini. Namun mereka tetap menyatakan perjalanan hijrah Nabi adalah dari bulan Safar hingga bulan Rabiul Awal.

Ternyata dari fakta sejarah ini, Nabi tidak berhijrah pada bulan Muharram. Cuma jika kita mahu membicarakan soal pengajaran hijrah pada bulan Muharram, tidaklah salah sebagaimana bulan-bulan yang lainnya.

Jasa Saidina Umar.

Ketika era perluasan wilayah di zaman Saidina Umar, pentadbiran kerajaan Islam saat itu memerlukan sistem perkiraan tarikh yang tersendiri. Maka Saidina Umar mengemukakan cadangan tersebut kepada sahabat-sahabatnya. Ia dikuatkan dengan riwayat Ibnu Sirin yang menyatakan seorang lelaki telah bertemu dengan Saidina Umar lalu menggesanya agar dibuat kalendar bagi umat Islam.

Sebelum itu ada cadangan-cadangan dari para sahabat agar mereka menggunakan kalendar Rom atau Parsi sahaja. Lantas Saidina Umar menolak pandangan tersebut.

 Menentukan Tahun Pertama.

Setelah keputusan untuk menyusun kalendar bagi umat Islam dicapai, maka para sahabat Saidina Umar berbincang untuk memilih perkiraan bagi tahun pertama. Terdapat beberapa pandangan yang dibincangkan. Antaranya tahun bermula kalendar bermula dari peristiwa:

• Kelahiran Nabi
• Penurunan wahyu pertama
• Peristiwa Isra' & Mi'raj
• Hijrah Nabi

Akhirnya Saidina Umar mengambil keputusan agar kalendar Islam dimulakan tahunnya bermula dari peristiwa hijrah Nabi. Ketika itu adalah tahun ke 17 hijrah Nabi, bermaksud kalendar Islam mula dihitung sejak tahun ke 17.

Menentukan Bulan Pertama.


Nama bulan-bulan dalam kalendar Hijrah yang digunapakai hari ini, sebenarnya telah pun digunakan sejak dari era jahiliyah lagi. Cuma sistem perkiraan mereka ketika itu tidak menetapkan angka tahun & bulan pertama yang menjadi pemula kitaran bagi kalendar.

Maka berlangsung perbincangan antara Saidina Umar & para sahabat berkenaan bulan apakah yang boleh dipilih untuk menjadi bulan pertama dalam kalendar Islam. Ada yang memilih bulan Sya'ban & ada juga yang mencadangkan bulan Ramadan.

Akhirnya Saidina Umar memilih bulan Muharram sebagai bulan pertama. Ada pendapat menyatakan keputusan tersebut dibuat setelah beliau berbincang dengan Saidina Uthman.

Bulan Muharram dipilih atas pertimbangan ia adalah bulan umat Islam baru selesai menunaikan haji. Bulan Zulhijjah sebelumnya bukan sekadar bulan haji, bahkan ia juga adalah bulan turunnya ayat kesyumulan Islam. Maka relevanlah Muharram dijadikan sebagai bulan permulaan bagi kalendar umat Islam.

Tahun Baharu.

Walaupun perkara ini selalunya dianggap tidak berapa signifikan, namun mengetahuinya adalah mustahak agar kita tidak tersilap waktu dalam merayakan sesuatu. Bahkan dengan mengetahui perkara seperti ini, kita dapat membayangkan bagaimana perkembangan tamadun Islam itu mula terbina.

Bagi kita umat Islam, kesedaran menjadikan hari ini lebih baik dari hari semalam, sangat perlu sentiasa tersemat dalam diri kita. Sekalipun ia tersangat sukar untuk direalisasikan, namun itulah keazaman yang patut berterusan & diperbaharui setiap hari.

* Gambar peta perjalanan hijrah Nabi. Garisan oren menunjukkan laluan utama dari Makkah ke Madinah. Sementara garisan merah pula adalah laluan yang digunakan oleh Nabi & Abu Bakar. Kelihatan strategi Nabi memintas laluan utama.

Abdul Mu'izz Muhammad
20 Ogos 2020
1 Muharram 1442.





No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo