Terowong Masa

Malaysia Tanpa Anwar di tulis oleh Ahmad Lutfi Othman. Saudara Lutfi pernah dipecat daripada pengajian di Kampus UTM kerana aktif dalam politik pelajar. Ketika itu Anwar baru sahaja menjawat jawatan Menteri Pelajaran mengganti (Tun) Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malaysia kelihatan lebih nyaman tanpa dia. Lebih 40 tahun politik Malaysia dibayangi oleh wajah Anwar Ibrahim. Dahulunya dia seorang idealis yang dipuja oleh para pemuda Islam, kemudian dia berpaling mencipta nama bersama tokoh yang dahulunya dia tentang. 

16 tahun kemudian dia tersungkur di pintu penjara kerana dianggap sebagai Brutus yang cuba membunuh Julius Ceaser. Cita-citanya jelas... PM aku yang punya.

Sejak 1998, warna politik Malaysia adalah berkisar di antara kegelojohan politik Anwar Ibrahim yang mahu menuju cita-citanya dan persaingan dia dengan Juliusnya. Pertembungan dia dengan Tun Mahathir membawa kepada terbitnya buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM, tulisan Khalid Jafri. 

Akibatnya, dia dipecat dan berlakulah gerakan Reformasi sehingga tertubuhnya Parti Keadilan Nasional (kini PKR). Dari dalam sangkar Sungai Buloh, dia menentang Dr Mahathir yang dianggapnya 'Mahafiraun' sehingga Abdullah Badawi membawanya keluar pada 2004.

Dia menggempur Abdullah Badawi dari satu sudut, dan Tun Mahathir menyerang dari satu sudut lain tanpa mereka bekerjasama. Hasilnya, kekuasaan politik beralih kepada Najib. Ketika dia hilang sabar untuk berkuasa, dilancarnya Langkah Kajang pada 2014 dan berlakulah perang saudara dalam PKR. 

Bukan hanya dengan Tan Sri Khalid Ibrahim, tetapi juga dengan Azmin Ali. Saat Langkah Kajang mula menapak, dia terhumban lagi ke penjara.

Kerana cintakan kuasa, dia mengambil manfaat dari kemarahan Tun Mahathir kepada Najib. Dari penjuru berbeza, dia (dan orang-orangnya) serta Tun Mahathir menyerang sehingga Najib tumbang. Dr Mahathir yang dulunya lawan, kini menjadi kawan. "Luka kecil sahaja," katanya. 

Mereka berpakat untuk naikkan semula Tun Mahathir sebagai Ketua Kerajaan, sementara dia sendiri masih 'di dalam.' Apakala dia keluar, segera dia mencari kedudukan. Janji dua tahun belum sampai, tetapi dia sudah mula menekan. Politik hilang kestabilan. Semuanya berselerakan. Akhirnya, Tun Mahathir berundur, kerajaan mereka tumbang!

Dia belum puas, kerana cita-cita belum kesampaian. Tan Sri Muhyiddin yang dipilih Yang Di-Pertua Agong dikatakan kerajaan pintu belakang. Undi tidak percaya mereka cuba usulkan. Tiba-tiba Tun Mahathir berkata, lebih afdhal kalau orang Sabah diberikan peluang. 

Dia menangis lagi, marahnya bukan kepalang. Dia bertegas, dengan Tun Mahathir tak mahu lagi berkawan. Ertinya, dia bakal mati beragan. Cita-citanya tidak kesampaian!

Dulu dia kata Lawan Tetap Lawan! Kemudian lawan dijadikan kawan. Kawan dia pun melawan. Kawan dapat hasil, dia terlepas peluang. Itulah nama kawan makan kawan. 

Kan senang, kalau dari dulu dia tak payah berjuang. Sekejap ke kiri sekejap ke kanan. Rakyat pening tak tahu ke mana tujuan. Bukan untuk rakyat, tetapi untuk dia makan seorang. Apa pun langkah, politik peribadi mencipta keuntungan.

Pada 1998, Ahmad Lutfi Othman membuat analisis tentang keadaan politik Malaysia pasca pemecatannya. "Malaysia Tanpa Anwar," kata Lutfi. Tujuannya untuk melihat bagaimana politik Malaysia boleh direformasikan oleh penyokong Anwar. 

Mampukah rakyat Malaysia mengekang kediktatoran regim Mahathir tanpa Anwar? Tiba-tiba Anwar yang mengangkat semula Mahathir ke tampuk kekuasaan dan Anwar sendiri tersungkur tanpa sebarang reformasi!

Lebih baik kalau Malaysia berterusan sejak dahulu tanpa Anwar!

(Mohd Fadli Ghani adalah Pengarah di Institut al-Balaghul Mubin)
https://www.facebook.com/mohdfadli.ghani.77/posts/172241277818122

Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post