NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dilema Shafie Apdal Mahathir atau Muhyiddin



Oleh : Sahimin Mustapah

Ketika beberapa buah negeri seperti Johor, Melaka, Perak dan terkini Kedah mengubah haluan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan arus politik negara, Sabah yang ditadbir Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama rakan sekutunya Parti United Progressive Kinabalu Organisation (Dulu dikenali sebagai i Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu - UPKO) dan Pakatan Harapan Sabah (PH) ( Parti Keadilan Rakyat -PKR dan Democratic Action Party - DAP) mengambil sikap yang berbeza dengan mengekalkan pendirian mereka untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Shafie) dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas bersama 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan 14 Ahli Dewan Rakyat (ADR) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah memberitahu demi kepentingan rakyat Sabah kerajaannya akan terus bekerjasama dengan mana-mana Kerajaan Persekutuan yang ada melalui pendekatan G2G (Kerajaan dengan Kerajaan).
Bagi Shafie walaupun Sabah sebuah negeri pembangkang, ia berkemampuan meneruskan semua rancangan pembangunannya, “Kelantan mampu menguruskan negeri itu meskipun sebagai pembangkang selama beberapa dekad, tidak ada sebab kenapa Sabah tidak dapat menguruskan negeri ini”.



Sejarah politik Sabah, ia pernah menjadi negeri pembangkang apabila Parti Bersatu Sabah (PBS) yang diketuai oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mengambil keputusan mengejut keluar daripada gabungan Barisan Nasional (BN) beberapa hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 untuk menyertai pembangkang Gagasan Rakyat yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan sekutunya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan DAP. Keputusan PBS telah mendorong Parti United Malay National Organisation (UMNO) mengambil keputusan drastik melebarkan sayapnya ke negeri Sabah dengan kerjasama Parti United Sabah National Organisation (USNO) disamping Jawatankuasa Penaja UMNO Sabah yang dipelopori Datuk Seri Panglima Mohd Dun Banir sejak 1986 serta bekas pemimpin dan ahli parti BERJAYA. Sejak dari peristiwa tersebut sepanjang tempoh pemerintahan kerajaan PBS, sentiasa bergelora dan menerima tekanan daripada kerajaan Persekutuan dan BN sehinggalah beberapa pemimpin PBS keluar parti dan kemudian menubuh parti baru seperti Parti Maju Sabah (SAPP) yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden PBS Datuk Yong Teck Lee.

Keputusan PRU-14 2018 menyaksikan WARISAN berjaya memenangi 21 kerusi DUN daripada 45 calon yang dipertandingkan. Walau bagaimanapun WARISAN masih belum mampu membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP kerana kekurangan 2 kerusi untuk menang dengan majoriti mudah. BN mendakwa memiliki kelebihan 2 kerusi apabila parti Solidariti Tanah Air (Star) pimpinan Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyebelahi blok BN bagi membolehkan Datuk Musa Hj Aman (Musa) ke Istana mempersembahkan jumlah sokongan yang diperolehi untuk mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah.


Tidak sampai 24 jam selepas Musa mengangkat sumpah, Shafie pula mendakwa memperolehi sokongan majoriti 35 ADUN apabila 6 ADUN BN (2 ADUN UPKO bersama 4 ADUN UMNO) melompat menyokong kumpulan Shafie, kemudiannya turut mengangkat sumpah di Istana Negeri. Keadaan ini menyebabkan Sabah mempunyai 2 Ketua Menteri, mengulangi apa yang pernah berlaku pada tahun 1985 dimana Presiden USNO Tun Datu Mustapha Datu Harun telah mengangkat sumpat Ketua Menteri terlebih dahulu dan selang beberapa hari kemudian Presiden PBS Datuk Joseph Pairin Kitingan turut mengangkat sumpah Ketua Menteri Sabah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Haji Mohd Adnan Robert. Tindakan 6 ADUN BN tersebut adalah berpunca perubahan politik di Putrajaya apabila BN telah tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) buat pertama kalinya di peringkat Persekutuan selepas memerintah negara selama tempoh 63 tahun. Mereka berpandangan adalah sukar memberi khidmat kepada rakyat sekiranya Sabah menjadi negeri pembangkang.

Konflik Shafie vs Musa berlanjutan apabila Musa bertindak menyaman Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan Shafie bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukkan undang-undang manakala pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah. Namun demikian Mahkamah Tinggi kemudiannya menolak kes pemula yang difailkan Musa bagi mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah Ketua Menteri yang sah dan seterusnya mengiktiraf Shafie kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie dalam penghakimannya berkata isu sama ada pelantikan Shafie tidak berperlembagaan dan tidak sah adalah negatif. Tindakan 6 ADUN BN yang menyokong pakatan WARISAN, DAP dan PKR sudah cukup membuktikan Musa telah hilang penguasaan terhadap majoriti Dewan Undangan Negeri Sabah.

Negara sekali lagi dilanda krisis politik apabila runtuhnya kerajaan PH pada 24 Februari lalu selepas 22 bulan memegang tampuk pemerintahan Persekutuan. Konflik ini sedikit sebanyak memberi tempias terhadap keutuhan kerajaan WARISAN-UPKO-PH. Keputusan Parti BERSATU keluar daripada gabungan PH menyebabkan ADUN yang masih bersama Shafie tinggal 43 orang sahaja. Dari segi angka kerajaan Shafie masih memiliki majoriti 2/3 satu kedudukan yang kukuh untuk beliau menyempurnakan baki mandat kerajaan beliau. Namun demikian apakah kedudukan ini benar-benar kukuh dan stabil? Apabila ditanya wartawan khabar angin mengenai ada usaha yang cuba membeli wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan negeri sekarang di Sabah, Shafie berkata mereka tidak tahu siapa yang akan mahu (dibeli) tetapi mereka tidak akan memaksa sesiapa untuk kekal jika mereka tidak mahu. “Ketika saya membentuk Kerajaan Negeri, dia tidak membeli sesiapa. Tetapi saya fikir masanya sudah tiba untuk kita mengubah budaya politik di Sabah. Saya fikir kami mesti menunjukkan jalan kepada rakyat Sabah, apakah nilai-nilai yang betul untuk kami sebagai ahli politik dan pemimpin, untuk melindungi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Ketika krisis siapakah PM 8, Sabah dan Sarawak mendapat perhatian kerana peranan “kingmaker” dalam menentukan calon PM 8 yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 112 ADR dari seluruh negara. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Mahathir) dan Dato Seri Anwar Ibrahim (Anwar) gagal mendapat sokongan mencukupi, Sabah dan Sarawak terus menjadi perhatian kerana situasi persaingan semakin sengit apabila PH kembali menyokong Mahathir manakala Muafakat Nasional (MN), BN, BERSATU dan kumpulan Azmin Ali pula menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin (Muhyiddin) sebagai PM 8. Akhirnya ia menyebelahi Muhyiddin apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokongnya manakala PBS dan Star mengambil sikap menyokong siapa sahaja dipilih PM 8.

Timbul persoalan mampukah kerajaan Shafie bertahan sebagai negeri pembangkang dengan tempoh pemerintahan hanya berbaki 2 hingga 3 tahun lagi. Jika sebelum ini 5 ADR Warisan dilantik 3 menteri penuh dan 2 timbalan menteri namun kali ini wakil Sabah di Persekutuan diwakili 3 menteri penuh dan 4 timbalan menteri daripada BERSATU (3), PBS(1), PBRS(1) dan Star(1) yang sudah tentu akan mengasak dan berusaha menawan Sabah daripada parti gabungan WARISAN. Jika sebelum ini perundingan Akta Malaysia 1963 dirundingi terus bersama PM Mahathir tetapi kali ini kerajaan Shafie terpaksa berurusan dengan kementerian khusus untuk Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Sejarah politik Malaysia, isu hubungan negeri-persekutuan sentiasa menjadi polemik khususnya negeri-negeri pembangkang samada ketika kerajaan BN mahupun PH. Kita boleh lihat dalam isu royalti minyak Kelantan dengan Persekutuan, kerajaan PH berdolak dalih walaupun manifesto PH secara jelas menyatakannya :-



Isu penularan surat larangan hadir oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah terhadap kakitangan awam negeri ke majlis amanat Perdana Menteri bertarikh 6 Mac 2020 akan menjadikan polemik hubungan negeri-persekutuan kembali bermasalah. Begitulah juga dengan cadangan Ketua Badan Pimpinan BERSATU SABAH Datuk Seri Hajiji Noor yang mahukan fungsi Jabatan Pembangunan Persekutuan Sabah (JPPS) dihidupkan semula sebagai platform mewakili Kerajaan Persekutuan di Sabah. Katanya, penubuhan JPPS amat penting sebagai instrumen Persekutuan untuk menyelia, memantau dan menyelaras pengagihan peruntukan pembangunan Persekutuan di peringkat negeri sudah pasti akan merencatkan banyak projek-projek melibat kerajaan Persekutuan. Malah tindakan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menjemput Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jenifer Lasimbang merasmikan pelancaran Kempen Bilik Rehat Sihat JPNS di Sekolah Menengah (SM) St Paul, Beaufort telah mengundang teguran dan peringatan daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin kepada ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan di Sabah supaya tidak melakukan perkara yang dianggap mensabotaj kerajaan baharu Perikatan Nasional.

Tanpa kerjasama yang erat negeri-persekutuan agak sukar kerajaan Shafie memenuhi janji-janji manifesto PRU-14. Dengan persekitaran ekonomi dunia yang semakin suram terutamanya isu ancaman corona virus (covic19) sudah tentu kerajaan negeri terpaksa mengkaji semula kedudukan semasa fiskal negeri . Sabah yang bergantung kepada dua sumber hasil utama iaitu royalti petroleum dan cukai jualan CPO dimana menyumbangkan sekitar 60.23% anggaran hasil negeri tahun 2020 sudah tentu akan mengalami penurunan hasil apabila harga minyak mentah jatuh dibawah paras 30 dolar Amerika Syarikat (AS) setong, iaitu menyamai kejatuhan terbesar sejak Perang Teluk pada 1991. Begitu juga isu corona virus ini juga akan melemahkan permintaan terhadap minyak sawit dunia, memberi kesan kepada pendapatan syarikat perladangan dan 100,000 pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negeri Sabah. Sektor pelancongan dan berkaitan paling banyak terjejas ekoran ketiadaan ketibaan pelancong luar negeri mahupun domestik dengan pelancong China dan Korea adalah penyumbang terbesar. Keadaan ini akan menyebabkan ramai pekerja sektor pelancongan kehilangan pendapatan atau pekerjaan kerana syarikat-syarikat terbabit terpaksa memberi cuti tanpa gaji atau mengurangkan bilangan pekerja. Kadar pengangguran semasa 5.8% juga dijangka meningkat disamping akan menimbulkan lebih banyak masalah sosial seperti jenayah mencuri, merompak dan penipuan.

Kegagalan kesemua ADUN Warisan-UPKO-PH hadir di sidang media pemimpin Sabah setia bersama Datuk Shafie di Hotel Magelan Sutera Harbour pada 15 Mei 2020 menambahkan lagi desas desus kerajaan Sabah akan tumbang sepertimana yang berlaku di Johor, Melaka, Perak dan Kedah. Jika kehadiran20 ADUN diambil kira sebagai ukuran tanda sokongan kepada Shafie, ini bermakna kedudukan Shafie sekarang dalam keadaan bahaya, apatah lagi tiada sebarang alasan diberikan ketidakhadiran kesemua ADUN-ADUN tersebut. Di sinilah dilemma Shafie samada terus setia bersama Tun Dr Mahathir atau terpaksa akur dengan perubahan politik yang berlaku dengan mengubah haluan bersama PM8 Tan Sri Muhyidin Yassin.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo