Usah terpedaya provokasi siapa MB Kedah



May 13, 2020

ALOR SETAR: Provokasi murahan oleh pihak tidak bertanggungjawab berkenaan perlantikan Menteri Besar Kedah yang baharu mula ditular di media sosial dan dilihat cuba mengelirukan orang ramai khususnya rakyat Kedah.

Sehingga berita ini ditulis, pengumuman siapakah bakal dilantik untuk jawatan berkenaan belum disahkan lagi walau pun ada ura-ura mengatakan berkemungkinan bakal disandang oleh ADUN Jeneri, Muhammad Sanusi Mohd Noor.

Namun, dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah kelmarin, Sanusi sendiri memaklumkan nama-nama calon untuk jawatan tersebut akan diputuskan oleh presiden parti masing-masing kemudian dikemukakan kepada SUK untuk dibawa mengadap Tuanku Sultan Kedah.

Sementara itu dalam sidang yang sama, Adun Sungai Tiang, Dato’ Suraya Yaacob juga menasihatkan pengamal media agar berhati-hati membuat tekaan memandangkan jawatan ini berkait rapat dengan perkenan Tuanku Sultan.

“Kita jangan mendahului tugas Sultan,” demikian antara yang disebut ADUN Sungai Tiang itu petang kelmarin.

Ekoran itu, Sanusi memaklumkan, poster ucapan tahniah kepadanya atas perlantikan sebagai Menteri Besar adalah palsu dan datangnya dari orang yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau poster itu betul, tentulah saya akan pakai baju cantik-cantik,” seloroh beliau.

Walau bagaimana pun dijangkakan perlantikan Menteri Besar dan exco kerajaan negeri akan berlaku sebelum 18 Mei ini.- HARAKAHDAILY 13/5/2020

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post