Pengurangan OPR 50 bps wajar dalam persekitaran penguncupan ekonomi - AmBank


KUALA LUMPUR, 6 Mei -- AmBank melihat pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang terkini sebanyak 50 mata asas (bps) sebagai wajar berikutan ekonomi dijangka menguncup pada separuh pertama 2020 berikutan impak berkaitan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya dengan pengurangan tersebut, pengurangan kadar faedah kumulatif pada 2020 setakat ini berjumlah 100 bps dan bertujuan mengurangkan risiko penurunan ke atas pertumbuhan apabila penguncupan dijangka pada separuh pertama 2020 disebabkan PKP.

“Bagaimanapun, dengan langkah rangsangan fiskal, pelonggaran PKP dan peningkatan secara beransur-ansur di peringkat global pada separuh kedua tahun ini akan menyaksikan ekonomi mula keluar dari tempoh kesukaran.

“Kadar faedah rendah mempunyai potensi untuk menarik pengguna kembali ke pasaran dan membuat pembelian seperti membeli hartanah dan kenderaan walaupun jumlah urus niaga mungkin tidak begitu ketara pada suku ketiga tahun ini tetapi apabila tahap keyakinan bertambah baik, permintaan dijangka meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

AmBank berkata terdapat kemungkinan lebih banyak pengurangan kadar bergantung kepada kesan daripada pengurangan terkini ke atas ekonomi, sejauh mana keberkesanannya kepada perbelanjaan dan mengawal pinjaman tidak berbayar (NPL) serta menyokong pertumbuhan pinjaman, terutamanya selepas tempoh moratorium.

“Sebarang keputusan mengenai lebih banyak pengurangan adalah berkemungkinan jika risiko penurunan ke atas ekonomi kekal tinggi.

“Selain itu, prospek inflasi bagi 2020 kekal lemah, antara 0.3 peratus dan -1.5 peratus, menunjukkan terdapat ruang kepada lebih banyak pengurangan kadar, jika perlu,” katanya.

Sementara itu, AmBank berkata pengumuman oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) boleh digunakan oleh institusi perbankan untuk memenuhi Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sepenuhnya berkuat kuasa 16 Mei, akan membantu mengurangkan masalah mudah tunai berdasarkan persekitaran semasa yang tidak menentu.

“Dengan nisbah SRR kekal sebanyak dua peratus, ia akan mengeluarkan tambahan RM16 bilion mudah tunai dalam sistem kewangan.

“Ia turut memberi prospek yang baik kepada pasaran bon berikutan kami menjangka lebih banyak terbitan untuk membiayai rangsangan fiskal, diunjurkan sebanyak RM145 bilion,” katanya.

AmBank berkata langkah itu akan membantu bank berikutan mereka menanggung beban moratorium pinjaman dan menghadapi potensi risiko NPL meningkat.

Katanya dengan pengurangan kadar, margin faedah bersih (NIM) bank akan berkurangan, dan, pengurangan 50 bps akan menyaksikan NIM dan pendapatan, masing-masing akan menerima impak daripada empat hingga lapan bps dan dua hingga enam peratus.

-- BERNAMA
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post