Parlimen bersidang 15 hari mulai 13 Julai


PUTRAJAYA: Sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama 15 hari mulai 13 Julai depan, selepas sesi pembukaan diadakan pada 18 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata sesi persidangan yang ditangguhkan selepas sesi pembukaan, akan berlangsung hingga 27 Ogos dengan mengambil kira keadaan semasa terutama wabak COVID-19.

Beliau berkata, sidang pembukaan kali ini ada sedikit kelainan di mana pembentangan usul kerajaan akan dibuat sebaik sesi perasmian pembukaan berakhir.

Ini termasuk katanya, pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan serta usul pelantikan Ketua Pembangkang serta pemilihan Ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi menggantikan jawatankuasa lama.

Beliau berkata, tiada juga sebarang upacara pemeriksaan barisan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah seperti kelaziman.

"Agong akan menyampaikan titah ucapan perasmian dan selepas baginda berangkat pulang, dewan akan bermula dengan urusan kerajaan, kemudian kita akan menangguhkan persidangan hingga Julai," katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, usul kerajaan akan diberi keutamaan pada sidang Dewan Rakyat kali ini.

"Parlimen bukan satu dewan yang adakan (persidangan) satu hari, Dewan Undangan Negeri (DUN) juga guna peruntukan sama (di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988). Mereka tidak boleh adakan persidangan yang lama.

"Ada dewan (DUN) yang berlangsung selama setengah jam, 45 minit, satu jam. Macam di (DUN) Selangor, dua hari. Bagi kita di Parlimen, oleh kerana bilangan Ahli Parlimen 222, ditambah Ahli Dewan Negara, pada hari perasmian boleh mencapai 300 orang," katanya.

Atas dasar itu katanya, kehadiran pada hari pembukaan nanti dihadkan tanpa membabitkan ramai pegawai dan hanya ketua-ketua jabatan dibenar hadir termasuk Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Ketua Hakim Negara.

Beliau berkata, pada hari pertama persidangan juga, tidak akan ada waktu rehat seperti kebiasaan, dengan kedudukan Ahli Parlimen dibuat mengambil kira penjarakan sosial seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kedudukan Ahli Parlimen dalam dewan akan ada penjarakan sosial. Semua satu kerusi memisahkan seorang Ahli Parlimen menyebabkan semua ruang dalam dewan akan digunakan termasuk tempat duduk pegawai, akan digunakan sebagai tempat duduk Ahli Parlimen selain galeri pelawat dalam dewan.

"Hanya media kerajaan seperti RTM dan BERNAMA dibenarkan dalam dewan. Itu budi bicara Speaker, kalau pihak media mahu merayu, maklum pada Speaker," katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/05/686699/parlimen-bersidang-15-hari-mulai-13-julai
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post