NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Manfaat idea segar depani normal baharu



Oleh Dr Mohd Yussuf Al Fahmey Abdul Rahim

BEBERAPA turutan siri ketidaktentuan seperti kebakaran hutan di Australia, pergolakan krisis Amerika-Iran, perang dagang Amerika Syarikat-China dan terkini ancaman pandemik COVID-19, mengubah senario dunia sejak enam bulan kebelakangan ini.

Ia bukan kali pertama dihadapi manusia, tetapi bak kata pepatah Melayu - 'sekali air bah sekali pantai berubah'.

Setiap kali perubahan mendadak melanda, setiap kali itu juga negara di dunia perlu melihat kembali perancangan asal dan jajaran semula dilakukan mengikut keperluan baharu.

Maju atau mundurnya negara termasuk dalam sains dan teknologi, boleh diterjemah melalui pencapaian beberapa indikator penting digariskan badan antarabangsa.

Berdasarkan rekod Bank Dunia setakat April 2020, berlaku penurunan jumlah permohonan paten antara 2010 hingga 2018 iaitu daripada 1,231 kepada 1,116. Namun penerbitan artikel jurnal saintifik dan teknikal meningkat daripada 11,056 pada 2010 kepada 23,661 pada 2018.

SCImago Journal and Country Rank (SJR) meletakkan penarafan negara pada kedudukan keenam pada 2018 berbanding ke-17 pada 2010 untuk penerbitan artikel kejuruteraan.

Bagi artikel pertanian dan sains biologi, kedudukan negara meningkat daripada kedudukan ke-20 (2010) kepada kedudukan ke-19 (2018), dan trend sama ditunjukkan bidang sains komputer dengan pertambahan daripada kedudukan ke-18 (2010) kepada kedudukan ke-10 (2018).

Semua ini mempamerkan daya keintelektualan dan janaan idea baharu daripada kelompok sarjana dalam kalangan rakyat.

Pastinya tanpa idea baharu melalui penyelidikan di universiti atau institusi lain, kita tidak berada dalam dunia hari ini.

Jutaan ringgit dibelanjakan kerajaan setiap tahun bagi menghantar penjawat awam melanjutkan pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD).

Kajian dilakukan mereka untuk memenuhi syarat mendapatkan pengiktirafan tertinggi akademik ini yang sangat ketat. Dua prinsip iaitu 'kesahan' dan 'kebolehpercayaan' menjadi syarat utama kajian agar dapatan diperoleh berwibawa dan mempunyai kebolehlaksanaannya.

Namun, sebahagian tesis hanya tersimpan rapi di rak perpustakaan universiti dan perlu diketengahkan demi rakyat dan negara.

Sudah tentu pihak kementerian dan agensinya memerlukan dapatan itu untuk menyelesaikan isu yang saban tahun sama sahaja dan berulang-ulang.

Oleh kerana dapatan kajian sudah tersedia, tidak perlulah lagi dana, masa dan tenaga dibuang mengulangi sesuatu yang sudah dihasilkan penyelidik lain.

Ringkasnya, dapatan baharu dalam bidang industri, ekonomi, kewangan, pentadbiran, pendidikan, keusahawanan, komunikasi dan multimedia, kesihatan bagi mendepani norma baharu sudah terhidang untuk dijamah.

Kebolehjangkitan COVID-19 di seluruh dunia jelas menunjukkan penawar antiviral masih belum ditemui.

Sorotan literatur mengenai virus ini diterbitkan penyelidik di China menyediakan jejak kepada penyelidik lain di seluruh dunia untuk terus mencari penawar kepada virus ini.

Manusia saling dijangkiti sehingga antivirus baharu ditemui. Dengan musibah ini, tampak jelas keperluan kepada idea baharu menjadi lebih kritikal berbanding situasi biasa dalam mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Pasukan pakar perubatan seluruh dunia digerakkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui inisiatif Kaji selidik Solidariti bertungkus-lumus mencari jalan keluar menghasilkan antiviral baharu demi kesinambungan hidup.

Idea baharu dan segar juga diperlukan dalam dunia perniagaan melalui penghasilan produk dan perkhidmatan baharu bagi menarik jumlah pelanggan yang ramai dan mengaut keuntungan besar.

Kepelbagaian strategi pemasaran terutama bagi perniagaan kecil dan sederhana perlu beralih daripada platform konvensional kepada digital, supaya meliputi spektrum pelanggan lebih luas.

Harus diingat kegagalan Nokia mengadaptasi idea baharu dalam perniagaan melenyapkan terus jenama telekomunikasi gergasi itu daripada pasaran suatu ketika.

Dalam konteks sektor awam, penjawat awam harus didedah kepada idea baharu agar tidak kekok dan asing.

Terbukti apabila tidak tercapai dek pemikiran, idea baharu dikemukakan rakyat dan komuniti perniagaan kepada kerajaan tidak disambut sewajarnya, sebaliknya mendapat tempat di negara lain.

Bukankah negara kerugian? Oleh itu, kerajaan perlu dilihat pantas menyediakan ruang dan peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan apatah lagi dalam era pasca pandemik COVID-19. Ia seperti sindiran dalam peribahasa Melayu, belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang.

Justeru, institusi dan individu dalam sektor awam perlu diupayakan dari segi idea untuk menjangkakan perubahan.

Idea baharu sangat diperlukan demi kesinambungan dan kerelevanan agar terus menjana kekuatan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan negara terutamanya pada fasa pasca Perintah Kawalan Pergerakan.

Felo Penyelidikan, Kluster Pembangunan Kepakaran, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo