PKP dan Islam: Selamatkan anak bangsa kita


oleh: Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

KERAJAAN mesti meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) meskipun COVID-19 telah berjaya diputuskan selepas ini. Cukai judi RM2 bilion setahun, belum dapat menampung ujian COVID-19 rugi RM2.4 bilion sehari.

Terus terang, saya menjadi gusar selepas PKPB, maka tidak ada lagi PKP, apabila COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya.

Sepanjang PKP, kita lihat kadar jenayah, maksiat, gejala sosial, dadah dan berbagai aktiviti merosakkan turun mendadak. Bagi saya, PKP ini sebenarnya adalah amar makruf nahi mungkar, ajak orang jadi baik, cegah jadi jahat. Muhasabah paling berguna buat semua.

Laporan indeks jenayah di seluruh negara sepanjang tempoh PKP menurun sebanyak 70 peratus. Kejayaan yang sangat luar biasa. Sebagai insan yang bertamadun, sudah tentu kita menginginkan semua ini. Siapa yang tidak mahu berada dalam keadaan aman tenteram.

Persekitaran menjadi bersih. Sungai yang mengalir ke dalam bandar raya nampak jernih, ikan bersyukur gembira. Sebelum ini, begitu kotor dan keruh, ikan mabuk kerana tangan-tangan jahat manusia.

Sudah tentu dalam agama Islam amat menyukai semua ini, kerana paksi Islam adalah amar makruf nahi mungkar. Begitu juga memulihara alam sekitar. Mungkin begitu juga bagi agama lain.

Justeru, sudah sampai masanya kerajaan perlu bermuhasabah, mendalami semua perkara ini. Terus laksanakan PKP bersyarat untuk menyelamatkan anak bangsa dan alam.

Dalam maksud, selepas jam 9.00 malam, muda mudi tidak lagi dibenarkan keluar. Apa tujuan keluar malam, jika tidak kebanyakannya melakukan aktiviti yang sukar dikesan mata. Mana mungkin wujud kelab siang berbanding kelab malam. Tuhan sediakan malam untuk berehat dan tidur, bukan menjadi kutu embun. Buat jenayah dan perkara tidak senonoh.

Pergilah melancong ke bandar raya di negara-negara maju. Bagaimana malam-malam mereka begitu 'Islamik'. Mungkin inilah yang ditemui oleh Muhamad Abduh, dengan kata-kata "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I got back to the East and saw Muslims, but not Islam."

Malam-malam bandar raya Barat begitu sunyi dan nyaman sekali. Persekitaran begitu bersih. Air sungai mengalir jernih. Tidak ada aktiviti malam yang menghairahkan, kecuali pada hari minggu, mereka keluar berhibur, clubbing, minum arak dan lain-lain, ini tentulah tidak Islamik. Mari kita ambil yang baik walaupun berada di Barat.

Kita takut rugi hilang pendapatan negara jika malam-malam 'dimatikan'. Pusat maksiat, kelab malam, pusat judi dan pusat maksiat lain tidak aktif atau ditutup. Bila ada cadangan sebegini, kita takut kehilangan bilion ringgit. Misalnya, hasil cukai judi setahun 2 bilion. Ini tidak termasuk arak, dan premis maksiat.

Contoh lain, pada tahun 2018, apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mahu memendekkan aktiviti premis hiburan hingga jam satu pagi, maka ultra kiasu bangun menentang. Katanya, ia akan memberikan kerugian kepadap pengusaha. Malah memberi kesan besar kepada ekonomi serta industri pelancongan negara terutama di Kuala Lumpur.

Kata ultra kiasu, pada tahun 2016 sahaja, industri bir (arak) menjana RM3.7 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Jika pusat maksiat tidak dibenarkan beroperasi selepas jam satu pagi, ia sudah tentu akan menjejaskan industri berkenaan yang juga bergantung kepada jualan di premis-premis hiburan. Kerajaan rugi tak dapat cukai. Rugi berbilion setahun.

Tiba-tiba Allah datangkan COVID=19, kita rugi RM2.4 bilion sehari (bukan setahun), akibat penutupan perniagaan. Kalau kita ambil 40 hari paling minima PKP, bermakna kerajaan telah rugi RM90 bilion, paling kurang setakat ini.

Negara-negara maju tidak berkecuali. Selama ini merekalah yang paling hebat dalam bidang teknologi. Mereka untung berbilion-bilion. Sekali Allah datangkan COVID-19, untung yang selama ini mereka jana, tidak berbaloi.

Ini baru satu wabak. Katakan datang pula wabak yang lain, selepas ini, apa akan terjadi kepada dunia. Lumpuh. Negara kita usahlah cerita. Jika negara maju pun tidak dapat mencegah dengan segala kelengkapan yang ada, inikan pula kita, negara yang begitu bergantung kepada teknologi Timur dan Barat.

Justeru, saya rayu kepada kerajaan, buatlah muhasabah ujian Allah yang datang ini. Jangan undang murka Allah. Mungkin ada orang tidak suka dengan kata-kata saya ini kerana terlalu simplistik. Mana tidaknya, negara maju seperti kuasa unipolar Amerika Syarikat pun tidak membendung pandemik ini.

Mari kita "stay at home" pada waktu malam selepas selesai COVID-19. Semalam baru baca berita, teramat sedih, seorang anggota polis meninggal ketika bertugas (PKP), dilanggar pemandu mabuk ultra kiasu. Mabuk waktu malam, jarang waktu siang. Malangnya, pemaksiat arak hidup gembira, didakwa, sedangkan keluarga mangsa polis terpaksa tanggung derita. Wajarkah semua ini? Hukuman mati hendaklah dijatuhkan ke atas pemandu ultra kiasu mabuk ini.

Kajian yang dibuat ke atas bandar-bandar utama di Amerika Syarikat seperti Washington, Minnesota, Mississippi, California, Colorado, Connecticut, Las Vegas, Wisconsin dan sebagainya menunjukkan bahawa apabila pusat judi dibuka, kebanyakan waktu malam, kadar jenayah dalam pelbagai bidang meningkat serta-merta sehingga 500 peratus.

Menurut John Curran, kadar jenayah ragut, rogol, rompak, serangan dan bunuh meningkat mendadak apabila kasino dibuka. Statistik Federal Bureau of Investigation (FBI) mempamerkan, kadar jenayah daripada 1,000 orang penduduk meningkat daripada 134.3 pada tahun 1978 kepada tahap menakutkan iaitu 450.3 pada tahun 1988. Bayangkan statistik 2020.

Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh kajian Keith Copher, Ketua Penguatkuasaan Lembaga Pengawasan Judi, Nevada, yang mendedahkan antara 450 hingga 500 pekerja ditangkap setahun kerana terbabit dalam aktiviti perjudian haram dalam satu daerah.

Menurut Schaff, Counselor for the Department of Corrections, Wisconsin, manusia yang terlibat dengan perjudian akan melakukan apa sahaja, termasuk mencuri, melakukan jenayah, pemalsuan, penggelapan, jenayah kolar putih dan sebagainya.

Tidak ketinggalan, judi turut menjejaskan kadar percukaian negara. Menurut Tom Grey, President of National Coalition Against Legalized Gambling, "We have studies that show for every dollar you bring in gambling revenue, you'll lose $1.90 in costs to the taxpayer," he said. It's as simple as ABC, "the addiction, the bankruptcy, the crime and corruption that you already have will just multiply with this expansion." … "If you're not fighting it, it's like cancer and will metastasize and take you over,".
Amat jarang sekali aktiviti maksiat dan jenayah dilakukan pada siang hari, semua bermula dengan malam, kecuali dalam beberapa kes tertentu.

Jarang dengar aktiviti merempit, mengedar dadah, menghisap dadah dan lain-lain aktiviti yang tidak bertamadun. Semua berlaku pada waktu malam.

Malangnya, yang menjadi mangsa bukan orang lain tetapi orang Melayu, orang Islam.
Semua bukti ini menunjukkan bahawa malam, tidak dapat membina dan membangunkan manusia. Benar, negara dapat pendapatan lumayan, berbilion setahun, hasil aktiviti haram pada waktu malam tersebut.

Allah uji kita dengan COVID-19, habis semua keuntungan lumayan tersebut.

Kita tidak tahu, apakah bentuk virus yang akan menyerangkan lagi. Maka insafilah. Saya cadangkan, teruskan PKPB walaupun kita sudah berjalan memutuskan COVID-19 sepenuhnya. Jangan benarkan anak-anak keluar selepas jam 9.00 malam. Yakinlah, malam-malam akan jadi aman, jika pergerakan dihadkan.

Kedua, percayaah tidak ada satu agama pun yang menghalalkan perkara yang diharamkan dalam Islam. Misalnya, arak, judi, seks bebas dan sebagainya.

Dalam agama Kristian, judi adalah dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Rujuk dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1 Corinthians 15:33. Pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The Layman's Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII.54. Pandangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940. Judi turut diharamkan dalam agama Yahudi.

Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin slot dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan berdosa. Jadi, dimanakah hujah untuk menghalalkannya?

Persoalannya, tatkala agama lain bersependapat dengan Islam, kenapa kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi, arak dan lain-lain berkaitan.

Justeru, oleh kerana tidak ada satu pun agama yang membenarkan judi, eloklah kita fikirkan semula bagaimanakah kesannya, jika ianya dibenarkan atau dilesenkan.

Saya tidak pernah dengar tauke judi rugi membuka perniagaan judi yang meriah pada waktu malam. Percayalah tidak ada orang berniaga judi, tanpa arak. Begitu juga kelab malam tanpa arak.

Percayalah, jika malam-malam terus dihidupkan tanpa PKPB, yang menjadi mangsa bukan orang lain, tetapi anak-anak Melayu Islam. Orang lain menyediakan premis, orang Islam yang mendatangi. Orang lain yang mengedarkan dadah, orang Islam paling banyak menghisap sehingga ketagih. Ketagihan inilah akan menghancurkan. Ultra kiasu yang menjadi pengedar, terus kaya-raya.

Akhirnya, jika kita berjaya memutuskan COVID-19 sepenuh, teruskanlah PKPB pada waktu malam. Jangan biar malam hidup. Biar malam itu hidup dengan manusia sujud kepada Penciptanya, bukan mengundang murkanya. Dibimbangi, murka Allah datang, tidak dapat lagi menampung keuntungan berbilion yang dijana.

Teruskan PKP, terus gempur
Selamatkan manusia sedang leka
Hidupkan malam solat dan tidur
Bukan bermaksiat, mengundang bala
RM2.4 bilion rugi sehari
Baru tahu Allah nak uji
Malam hidup tanpa PKP
Siapa untung siapa rugi
Lu jawablah sendiri
Gua tak mau cakap lagi
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post