NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lupuskan keuntungan terakru dalam tempoh moratorium, zahirkan nilai Ihsan dalam perbankan Islam


1. Nampaknya Institusi Perbankan Islam turut mengikut jejak institusi perbankan konvensional yang lain untuk mengambil kira keuntungan terakru, termasuk kos daripada kerugian selama 6 bulan penangguhan bayaran balik atau moratorium yang ditawarkan kepada pelanggan.

2. Perbezaannya hanyalah dari sudut pengoperasian bank-bank Islam untuk melakukan perubahan terhadap kontrak-kontrak Syariah yang diguna pakai lantaran pengubahsuaian terma-terma dan syarat-syarat kepada kontrak pembiayaan yang asal.

3. Prinsip Syariah adalah jelas, sekiranya ada apa-apa perubahan kepada terma dan syarat yang dipersetujui pada awalnya antara bank dengan pelanggan, maka persetujuan baharu antara kedua-dua pihak perlu dilakukan. Sebagai contoh, perubahan kepada cara dan kadar bayaran perlu dimaklumkan dan mendapat persetujuan yang jelas daripada pelanggan.

4. Memandangkan perbankan Islam menggunakan pelbagai kontrak Syariah seperti berasaskan jual beli (murabahah) ataupun sewaan (ijarah) ataupun gabungan pelbagai kontrak (ijarah thuma al-bai, tawarruq, musharakah mutanaqisah), maka implikasi kontrak dan pengurusan prosedur mendapatkan persetujuan perlu diperhalusi dengan mengambil kira sifat, prinsip dan kesan kontrak-kontrak tersebut.

5. Sebagai contoh, bagi kontrak murabahah yang bersifat tetap dan jelas dari segi harga pokok dan kadar keuntungan. Sebarang perubahan kepada kadar keuntungan atau kaedah bayaran balik bagi yang memilih moratorium, memerlukan persetujuan dan kontrak (aqad) baharu.

6. Walau-apapun keperluan memenuhi prinsip Syariah dalam pengoperasiannya, bank-bank Islam tidak wajar disibukkan dengan hanya melihat aspek kontrak atau akad bagi menghalalkan bank memperoleh keuntungan terakru akibat penangguhan pembayaran oleh pelanggan.

7. Sebaliknya, inilah masanya Perbankan Islam mesti ditampilkan berbeza daripada amalan konvensional dengan menzahirkan nilai-nilai ihsan dan rasa kebertanggungjawaban sosial yang tinggi terutamanya ketika umat dilanda musibah Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang mengekang mereka daripada bekerja dan memperoleh pendapatan.

8. Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengharapkan agar Institusi-Institusi Perbankan Islam dapat melupuskan keuntungan terakru sewaktu tempoh 6 bulan moratorium yang diberikan kepada pelanggan!

9. Ini selaras dengan semangat dan matlamat Syariah sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 280 seperti berikut:

ŁˆَŲ„ِŁ† ŁƒَŲ§Ł†َ Ų°ُŁˆ Ų¹ُŲ³ْŲ±َŲ©ٍ ŁَŁ†َŲøِŲ±َŲ©ٌ Ų„ِŁ„َŁ‰ٰ Ł…َŁŠْŲ³َŲ±َŲ©ٍ ۚ ŁˆَŲ£َŁ† ŲŖَŲµَŲÆَّŁ‚ُŁˆŲ§ Ų®َŁŠْŲ±ٌ Ł„َّŁƒُŁ…ْ ۖ Ų„ِŁ† ŁƒُŁ†ŲŖُŁ…ْ ŲŖَŲ¹ْŁ„َŁ…ُŁˆŁ†َ

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

2 Mei 2020

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo